
Penganalisis politik meragui sama ada langkah DAP membenarkan Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook, melepaskan jawatan menteri memadai untuk meredakan kemarahan akar umbi terhadap pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, semua lima menteri DAP sepatutnya turut meletak jawatan bagi meningkatkan peluang parti itu mengekalkan sokongan akar umbi.
Menurutnya, peletakan jawatan beramai-ramai adalah langkah yang wajar, walaupun DAP sendiri tidak bertanggungjawab terhadap keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib.
Langkah itu, katanya, tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan perpaduan kerana semua 40 Ahli Parlimen DAP masih boleh terus menyokong kerajaan di Parlimen.
Beliau turut berpendapat, keputusan hanya Loke yang meletak jawatan telah meletakkan DAP dalam situasi sukar dengan penyokongnya, terutama masyarakat Cina, ketika parti itu sedang kehilangan sokongan seperti yang dilihat dalam pilihan raya baru-baru ini.
“Apa yang boleh dilakukan untuk mendapatkan kembali sokongan mereka? Saya mencadangkan semua menterinya letak jawatan — bukan sebab marah atau merasakan mereka perlu bertanggungjawab — tetapi mereka perlu memikirkan cara terbaik mengekalkan sokongan masyarakat Cina pada masa depan.
“Ini sangat kritikal. Selepas hilang kepercayaan dan ikatan dengan komuniti Cina, bukan mudah untuk memulihkannya,” katanya kepada FMT.
Jelasnya, ketiadaan wakil Cina dalam Jemaah Menteri bukan isu besar kerana PKR boleh melantik Ahli Parlimen Cina daripada parti itu sendiri atau pihak luar untuk mengisi kekosongan tersebut.
Lau memberi contoh, Najib pernah melantik Paul Low, bekas presiden Transparency International Malaysia, sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri apabila MCA enggan menyertai Jemaah Menterinya selepas kalah dalam PRU 2013.
Tegasnya, walaupun tidak salah jika menteri DAP kekal dalam jawatan, tindakan itu berisiko memberi lebih banyak ruang kepada pihak lawan untuk menuduh parti berkenaan terlalu gilakan kuasa.
Sokongan berpotensi kembali
Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, pula berpendapat penyokong DAP tidak akan menyalahkan parti itu sekiranya semua menterinya meletak jawatan beramai-ramai, walaupun ia berpotensi menyebabkan kerajaan tumbang.
“Malah, sokongan akan kembali kepada DAP. Saya tidak fikir penyokong mereka akan berpuas hati dengan langkah separuh jalan,” katanya kepada FMT.
Tidak patut terlalu kecewa
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara bagaimanapun berkata, akar umbi DAP tidak patut terlalu kecewa dengan pengampunan bersyarat itu kerana Najib telah melalui proses wajar dan pengampunan itu diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Saya rasa penyokong DAP tidak patut menafsirkan parti itu telah gagal dalam isu ini,” katanya kepada FMT.
Beliau menyifatkan tindakan hanya Loke menawarkan diri meletak jawatan sebagai langkah yang tepat, kerana peletakan jawatan beramai-ramai akan memberi alasan kepada Umno untuk mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen.
“Jika DAP memutuskan keluar daripada kerajaan dan menyokong Anwar dari luar, ia akan memberi kelebihan tambahan kepada Umno untuk mencetuskan pergolakan politik dalam kerajaan perpaduan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.