
Bekas perdana menteri, Najib Razak, masih belum melunaskan denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai salah satu syarat wajib sebelum beliau dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, menjelaskan bayaran denda tersebut perlu dibuat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memandangkan kes berkenaan bermula dan turut dibicarakan di mahkamah yang sama.
“Setakat ini, keluarga Najib belum membayar denda. Selepas pembayaran dibuat, saya tidak boleh jangka secara tepat bila Najib akan dibawa pulang ke rumah, mungkin ambil sedikit masa,” katanya ketika dihubungi media pada hari tersebut.
Beliau turut memberitahu bahawa prosedur operasi standard bagi pelaksanaan tahanan rumah akan dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Tiada pergerakan di Penjara Kajang
Tinjauan Bernama di pekarangan Penjara Kajang mendapati sehingga kini masih tiada sebarang pergerakan yang membabitkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Ini bermakna proses untuk Najib pulang ke rumah masih belum dapat dilaksanakan buat masa ini, memandangkan syarat pembayaran denda tersebut belum lagi dipenuhi.
Latar belakang kes SRC International
Najib, 73, kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas beliau disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, telah memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International itu secara tahanan di rumah, sehingga 23 Ogos 2028.
Namun begitu, pengampunan tersebut tetap tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan kepada semua syarat lain yang telah ditetapkan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.