Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan isu kehilangan dana penyelidikan berjumlah RM225 juta tidak timbul. Sebaliknya, jumlah itu ialah baki terkumpul daripada pelaksanaan ribuan projek penyelidikan sejak 2006.
Dalam kenyataan, KPT memaklumkan baki dana itu hanya mewakili 3.65% daripada keseluruhan peruntukan penyelidikan sepanjang hampir dua dekad dan disimpan dalam akaun berasingan di institusi pendidikan tinggi (IPT).
Menurut kementerian, baki dana itu terhasil daripada penjimatan kos pelaksanaan, pelarasan keperluan penyelidikan, penyiapan projek lebih awal serta faktor teknikal dan pentadbiran lain, tanpa menjejaskan pencapaian objektif asal penyelidikan.
“Baki dana itu tertakluk kepada kawal selia, tatacara kewangan kerajaan serta kelulusan KPT,” menurut kenyataan itu.
Mekanisme agihan diluluskan Jemaah Menteri
KPT memaklumkan, Jemaah Menteri pada 18 Sept meluluskan mekanisme, tatacara pengurusan dan agihan baki dana penyelidikan itu. Cadangan penggunaan semula dana tersebut melibatkan 20 universiti awam (UA) dan 41 institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
Kementerian itu berkata, penggunaan semula dana tersebut akan dilaksanakan secara telus, berstruktur dan dengan pemantauan berkala, tanpa mengubah tujuan asal peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
KPT turut memaklumkan isu itu sebelum ini dibangkitkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN). Kementerian telah memperoleh kelulusan secara sekali sahaja daripada Kementerian Kewangan pada 11 Feb lalu, tertakluk kepada pewujudan mekanisme pengurusan yang jelas.
Tindakan tatatertib kes prototaip i-Breath
Berhubung kehilangan 19 unit prototaip perubatan i-Breath bernilai RM1.6 juta di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) antara Januari 2022 hingga Disember 2023, KPT memaklumkan tindakan tatatertib diambil terhadap individu yang mengetuai penyelidikan tersebut.
Menurut KPT, tindakan itu susulan pelanggaran tatakelola dan tatacara perolehan, selain laporan polis yang dibuat pada 15 Okt 2025.
UTM juga melaksanakan langkah pembetulan yang meliputi pengasingan tugas pengesah dan pelulus serta mendapatkan kelulusan perbelanjaan daripada Lembaga Pengarah Universiti.
KPT komited tangani kelemahan tadbir urus
KPT memaklumkan pihaknya mengambil maklum dan memandang serius laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), serta komited menangani kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti.
“KPT akan terus bekerjasama dengan PAC, Jabatan Audit Negara dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap syor penambahbaikan dilaksanakan berdasarkan kepada fakta yang jelas,” menurut kenyataan itu.
Pada 24 Nov, Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin, mendedahkan lebih RM225 juta baki dana penyelidikan KPT terbiar selama hampir dua dekad.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.