
Perdana menteri paling lama berkhidmat, Mahathir Mohamad, menyambut ulang tahun kelahiran ke-101 hari ini.
Sebagai anak bongsu daripada sembilan adik-beradik, Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar. Beliau mendirikan rumah tangga dengan isteri, Hasmah Ali, yang bakal berusia 100 tahun dalam masa dua hari lagi, sejak 1956.
Awal tahun ini, Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara selepas mengalami patah tulang pinggul akibat terjatuh di rumah. Beliau memilih menjalani rawatan fisioterapi berbanding pembedahan, berikutan faktor usianya.
Mahathir masih membuat kemunculan di khalayak ramai walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda sejak mengalami patah tulang pinggul. Terbaru, beliau dilihat meluangkan masa bertemu orang ramai di Langkawi, Ahad lalu.
Perjalanan politik hampir 70 tahun
Veteran politik ini berkecimpung hampir 70 tahun merentasi landskap politik Malaysia, serta pernah menjadi musuh dan sekutu kepada hampir setiap parti, daripada Umno hingga ke DAP, PKR, dan PAS.
Sebahagian besar kerjaya politiknya bersama Umno, di mana beliau pernah dipecat sebelum kembali semula dan bangkit sebagai presiden parti itu.
Mahathir memimpin negara sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003, kemudian berkhidmat untuk satu lagi penggal yang singkat selepas menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Tempoh jawatan keduanya sebagai perdana menteri berakhir pada Februari 2020 susulan Langkah Sheraton, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri keempat, Mahathir memperkenalkan beberapa inisiatif seperti Dasar Pandang ke Timur, yang mempromosikan hubungan pendidikan dan perniagaan dengan negara seperti Jepun dan Korea Selatan, serta pengeluaran Proton Saga, kereta pertama buatan Malaysia.
Beliau juga memulakan beberapa projek ikonik termasuk Menara Berkembar Petronas, Menara KL, KLIA, dan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara.
Mahathir turut melancarkan pelbagai usaha mewujudkan perpaduan politik Melayu, walaupun usaha tersebut akhirnya menemui jalan buntu. Mei lalu, beliau berkata dirinya telah gagal menyatukan orang Melayu, setelah sebelum ini pernah memimpin Umno, Bersatu, dan Pejuang.
Anwar ucap tahniah sempena ulang tahun
Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran ke-101 kepada Mahathir Mohamad.
“Semoga beliau terus dilimpahi rahmat, kesihatan yang baik dan berada dalam keberkatan-Nya, insya-Allah,” katanya dalam catatan di Facebook.
Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah, dan pernah menjawat jawatan perdana menteri sebanyak dua kali, iaitu selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, serta sekali lagi dari 2018 hingga 2020. Ketika dilantik semula pada usia 92 tahun, beliau menjadi perdana menteri tertua di dunia.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.