
Malaysia mencapai kejayaan terbaik dalam sejarah penyertaannya dalam Indeks Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) 2026 anjuran Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), dengan melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 negara yang dinilai.
Peningkatan ini jauh lebih ketara berbanding kedudukan ke-23 yang dicatatkan tahun lalu, yang sebelum itu meningkat daripada tangga ke-34 pada 2024, sekali gus menjadikan pencapaian tahun ini sebagai yang terbaik bagi negara dalam indeks tahunan tersebut.
Kedua tertinggi di Asia Tenggara
Malaysia menduduki tempat kedua tertinggi di rantau Asia Tenggara, di bawah Singapura yang mengekalkan kedudukan teratas keseluruhan. Singapura diikuti oleh Hong Kong, Switzerland, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu, Denmark, Ireland, Belanda, Sweden, Amerika Syarikat, Qatar, China, Arab Saudi dan Luxembourg.
WCR menilai dan menganalisis keupayaan sesebuah negara dalam mewujudkan serta mengekalkan persekitaran yang menyokong daya saing perusahaan.
Prestasi ekonomi dan kecekapan kerajaan meningkat
Dalam aspek prestasi ekonomi, Malaysia memperoleh skor 78.4 mata dan menduduki tangga keempat daripada 70 ekonomi, sama seperti tahun lalu. Kedudukan dalam kategori kecekapan kerajaan pula meningkat daripada tangga ke-25 kepada ke-14 dengan skor 71.6, manakala kecekapan perniagaan turut menunjukkan peningkatan, daripada ke-32 pada 2025 kepada ke-16 tahun ini dengan skor 75.4.
Infrastruktur kekal cabaran utama
Namun begitu, Malaysia masih mencatat prestasi yang lebih rendah dalam kategori infrastruktur, dengan hanya naik dua anak tangga ke kedudukan ke-33 bersama skor 59.8. Menurut IMD, kedudukan keseluruhan Malaysia turut disokong oleh prestasi ekonomi domestik, perdagangan antarabangsa dan pelaburan antarabangsa, dengan ketiga-tiga kategori itu mencatatkan peningkatan skor.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.