
Manchester United semakin hampir mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan selepas menewaskan Brentford 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford awal pagi tadi.
Casemiro membuka jaringan buat United pada awal permainan sebelum Benjamin Sesko menggandakan kelebihan pasukan tuan rumah sebelum tamat babak pertama.
Brentford cuba bangkit menerusi jaringan lewat Mathias Jensen, namun gol itu gagal menghalang United daripada meraih tiga mata penting.
United kukuhkan kedudukan di tangga ketiga
Kemenangan tersebut mengukuhkan cengkaman Manchester United di tangga ketiga liga.
Skuad kendalian Michael Carrick kini berada 11 mata di depan pasukan tangga keenam, Brighton, dengan lima pasukan teratas dijamin slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
United hanya memerlukan dua mata daripada baki empat perlawanan untuk memastikan mereka kembali beraksi di pentas elit Eropah buat kali pertama sejak musim 2023-24.
Aksi bertemu Liverpool jadi tumpuan
Manchester United bakal menerima kunjungan musuh tradisi, Liverpool, Ahad ini dalam aksi yang dijangka menjadi penentuan penting kedudukan tiga teratas liga.
Liverpool ketika ini berada tiga mata di belakang United di tangga keempat.
Carrick yang mengambil alih tugas pengendali sementara menggantikan Ruben Amorim pada Januari lalu dilihat berjaya menstabilkan prestasi pasukan selepas tempoh sukar sebelum ini.
Carrick terus buru kepercayaan pengurusan
Mengemudi United kembali ke Liga Juara-Juara dijangka mampu menguatkan lagi peluang Carrick untuk terus diberi kepercayaan oleh pemilik bersama kelab, Jim Ratcliffe.
Sebelum ini, kemenangan 1-0 ke atas Chelsea membantu menyuntik semula keyakinan pasukan selepas United tewas di laman sendiri kepada Leeds dan seri ketika bertemu Bournemouth.
Bagi Brentford pula, pasukan itu masih gagal menamatkan penantian panjang untuk menang di Old Trafford sejak kali terakhir melakukannya pada 1937.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.