
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur akibat sakit dada, telah dibenarkan keluar hospital petang semalam.
Simptom berkenaan dialami sejurus beliau pulang daripada urusan rasmi di luar negara.
Dalam satu hantaran di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang itu memaklumkan beliau telah discaj dan merakamkan penghargaan kepada semua yang mendoakan kesihatannya.
Beliau dijangka berehat terlebih dahulu di kediamannya di Kangar sebelum meneruskan kembali tugas rasmi.
Sebelum ini, Mohd Shukri mengadakan lawatan ke Shanghai, China bagi menghadiri Karnival Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dalam usaha menarik pelaburan serta memperkukuh daya saing perusahaan tempatan di Perlis. MIHAS turut dilihat sebagai platform untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan Republik Rakyat China, termasuk memperluas akses pasaran halal di peringkat global.
Pada 29 September 2019, Mohd Shukri pernah dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar selepas rebah akibat serangan jantung ketika berucap dalam satu program politik di Perlis.
Pada masa sama, kerajaan negeri Perlis kini berdepan kemelut kepimpinan apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Perikatan Nasional didakwa telah menghadap Raja Perlis bagi menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mohd Shukri.
Difahamkan, beberapa ADUN telah menarik sokongan, sekali gus mencetuskan spekulasi kemungkinan pertukaran Menteri Besar dalam masa terdekat.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.