
Lionel Messi sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai pemain terbaik dunia apabila masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol keenamnya dalam Piala Dunia 2026, membantu Argentina menewaskan Jordan 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan J.
Messi dimasukkan selepas sejam permainan sebelum menyempurnakan sepakan percuma kira-kira 10 minit sebelum tamat perlawanan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak kejohanan setakat ini.
Pemain berusia 39 tahun itu turut menjadi pemain pertama dalam sejarah yang berjaya menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan Piala Dunia berturut-turut, mengatasi rekod milik Just Fontaine dan Jairzinho.
Kemenangan itu membolehkan juara bertahan menamatkan saingan kumpulan dengan rekod sempurna sembilan mata hasil tiga kemenangan, selepas sebelum ini menewaskan Algeria 3-0 dan Austria 2-0. Argentina kini bersedia menghadapi pendatang baharu, Cape Verde, dalam pusingan 32 terbaik di Miami pada 3 Julai.
Argentina juga memburu gelaran Piala Dunia kedua berturut-turut, sesuatu yang kali terakhir dicapai oleh Brazil pada tahun 1962.
Kumpulan J: Austria seri dramatik, Iran tersingkir
Dalam perlawanan Kumpulan J yang lain, Austria bangkit mengikat Algeria 3-3 menerusi penamat dramatik yang menyaksikan dua gol dijaringkan pada masa kecederaan. Keputusan itu memastikan kedua-dua pasukan mara ke pusingan 32 terbaik, sekaligus menyingkirkan Iran daripada kejohanan.
Argentina menamatkan saingan sebagai juara kumpulan, manakala Austria di tangga kedua dan akan berdepan juara Eropah, Sepanyol, pada pusingan kalah mati.
England dan Bellingham gemilang, Congo catat kejutan
Di Kumpulan L, Jude Bellingham tampil sebagai wira apabila mencetak satu gol dan membantu jaringan Harry Kane ketika England menewaskan Panama 2-0 di Stadium New York/New Jersey. Skuad kendalian Thomas Tuchel itu menamatkan saingan sebagai juara kumpulan dengan tujuh mata.
Gol Kane dalam perlawanan itu adalah yang ke-11 beliau di pentas Piala Dunia, mengatasi rekod 10 gol milik Gary Lineker untuk muncul sebagai penjaring terbanyak England dalam sejarah kejohanan.
Croatia pula menewaskan Ghana 2-1 untuk menduduki tangga kedua Kumpulan L. Walaupun Ghana sudah mengesahkan kemaraan sebelum sepak mula, Nikola Vlasic menjaringkan gol kemenangan menerusi tandukan lewat permainan bagi memastikan Croatia mara ke pusingan 32 terbaik di Toronto pada Khamis ini.
Di Kumpulan K, Congo meneruskan kemaraan selepas bangkit menewaskan Uzbekistan dan melakar kemenangan 3-1 hasil rembatan deras Wissa pada masa tambahan, meletakkan Congo di kedudukan ketiga dengan empat mata dalam kempen kumpulan.
Colombia dan Portugal pula berkongsi satu mata selepas aksi terakhir Kumpulan K berakhir tanpa jaringan. Selepas tamat tiga perlawanan, Colombia muncul juara manakala Portugal akur selaku naib juara kumpulan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.