
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi melontarkan kritikan pedas terhadap senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, menyifatkannya sebagai kitar semula, mediocre dan antiaspirasi anak muda.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit itu turut melabelkan calon-calon BN tersebut sebagai cacamarba, tidak menarik dan gagal menggambarkan sebarang perubahan.
“Kenapa? Sebab ia parti anak beranak, calon dipilih di kalangan kroni dan partner main golf. Ada yang baru sebulan kembali masuk Umno sudah boleh jadi calon dengan mudah,” katanya menerusi Facebook.
Generasi keempat dipinggirkan, calon lama mendominasi
Menurut Mohd Puad, Umno yang kini berusia 80 tahun sepatutnya dipimpin oleh generasi keempat seperti Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi. Namun begitu, beliau mendakwa ramai calon Umno merupakan kitar semula daripada generasi ketiga.
“Maka Umno Johor gagal memenuhi aspirasi anak muda. Generasi keempat terpinggir. Itu yang Akmal tidak faham,” katanya, merujuk kepada Muhamad Akmal Saleh.
Mohd Puad turut mempersoalkan pemilihan beberapa calon kitar semula, antaranya Abdul Halim Suleiman di DUN Tiram yang berusia 64 tahun dan pernah tewas pada PRN 2018, serta Adham Baba yang berusia 64 tahun, yang digugurkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tetapi kini dipilih bertanding di DUN Pasir Raja.
Beliau turut menyorot Samsolbari Jamali di DUN Semarang yang berusia 65 tahun, serta Alwiyah Talib di DUN Endau yang berusia 65 tahun, yang merupakan bekas Adun Bersatu selama dua penggal dan baru empat bulan menyertai Umno.
Penggantian calon berpengalaman turut dipersoalkan
“Azhar Ibrahim kalah 2018. Haslinda exco Wanita baru sepenggal digugurkan. Zaidi Jaafat kalah 2018. Dan Youzaimi Yusof kalah 2022,” katanya.
Mohd Puad turut mempersoalkan penggantian calon berkelulusan PhD seperti Fuad Tukirin yang didakwanya digantikan dengan calon berkelulusan SPM di Bukit Naning.
“Maka bagaimana anak muda mahu tertarik dengan Umno. Memang wajar Puteri Umno marah kerana seorang sahaja wakil Puteri jadi calon. Risikonya pengundi muda kali ini masih menolak Umno,” katanya.
Mohd Puad yang juga bekas Speaker DUN Johor sebelum ini mengumumkan keluar Umno serta-merta pada 25 Jun, mendakwa Umno Johor tidak lagi bebas membuat keputusan dan dikawal oleh istana.
Bagaimanapun, tindakan beliau itu mendapat kecaman pemimpin Umno yang mendedahkan bahawa rasa tidak puas hati sebenar Mohd Puad berpunca daripada anaknya yang tidak dipilih menjadi calon pada PRN Johor kali ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.