
Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir, menggesa penyokong parti itu di kerusi yang tidak ditandingi oleh Perikatan Nasional (PN) supaya memilih calon Melayu yang berwibawa dan berintegriti, selain bukan daripada Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata keputusan itu diserahkan kepada ahli dan penyokong Pejuang untuk membuat penilaian sendiri, namun menegaskan calon yang dipilih mestilah mempunyai kredibiliti serta rekod yang bersih.
“Apa yang dinasihatkan Mahathir Mohamad ialah pilih calon Melayu. Saya tahu ada beberapa tempat semua calon adalah Melayu, jadi dalam keadaan itu pilihlah calon yang berwibawa.
“Kita tidak mahu calon yang ada masalah integriti. Yang penting bukan PH, selebihnya saya serahkan kepada pengundi dan penyokong Pejuang untuk membuat penilaian,” katanya kepada FMT ketika ditemui membantu kempen PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.
Yakin dengan kelebihan calon anak tempatan
Mengulas peluang PN di DUN berkenaan, Mukhriz berkata gabungan itu yakin dengan kemampuan calonnya, Suraya Sulaiman, yang disifatkan mempunyai kelebihan sebagai anak tempatan dan dikenali oleh penduduk setempat.
Beliau berkata, Suraya yang berasal dari Kampung Sawah Ring sudah bekerja di kawasan itu sejak empat tahun lalu dengan turun padang membantu penduduk dari kampung ke kampung.
“Saya rasa kita membuat pilihan tepat dengan Suraya. Di mana-mana saya pergi, pengundi sudah kenal beliau, jadi saya tidak perlu memperkenalkan calon.
“Walaupun pertandingan tiga penjuru dengan dua pencabar yang kuat daripada Barisan Nasional (BN) dan PH, kami kekal optimis untuk menang,” katanya.
Respons pengundi bukan Melayu dilihat positif
Mengenai sokongan pengundi bukan Melayu, Mukhriz mengakui ada segelintir pengundi meluahkan hasrat untuk memboikot pilihan raya atau beranggapan semua parti politik adalah sama sahaja.
Bagaimanapun, beliau berkata PN berusaha meyakinkan mereka bahawa gabungan itu berbeza daripada pesaingnya, terutama dalam menangani isu ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Setakat ini respons daripada pengundi bukan Melayu sangat positif. Saya harap ia diterjemahkan dalam bentuk undi dan peratusan keluar mengundi yang tinggi memihak kepada kami,” katanya.
Sebelum ini, PAS secara rasmi menyeru penyokong dan pengundinya memberi undi kepada calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN. Mahathir pula menyeru pengundi Melayu supaya mengutamakan calon Melayu dalam pilihan raya ini, tanpa mengira parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.