
Ketiadaan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Negeri Sembilan menjejaskan urusan pelaburan dan perniagaan yang memerlukan kelulusan kerajaan negeri, kata bekas menteri besar, Aminuddin Harun.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, kerajaan negeri tidak dapat berfungsi seperti biasa hampir dua bulan selepas mengambil alih pentadbiran. Keputusan penting berkaitan dasar serta kelulusan juga masih tertangguh.
Pelabur mula curiga
“Bagaimana hendak melaksanakan tugas-tugas ini tanpa exco? Pelabur menanti, pengusaha menanti, penjual yang menjual rumah, yang menjual kedai, yang menjual apa lagi?
“Yang perlukan kelulusan MMKN terpaksa tangguh, tangguh dan tangguh. Jadi, ini menggagalkan usaha negeri untuk terus berkembang.
“Pelabur mulai curiga. Ini menjadi satu perkara yang patut kerajaan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional fikirkan, bukan hanya memikirkan kepentingan mereka,” katanya.
Beliau berucap pada Konvensyen DAP Negeri Sembilan di Seremban.
Exco dilucutkan jawatan
Negeri Sembilan tiada exco sejak 20 Sept lalu, selepas semua 10 ahli MMKN dilucutkan jawatan kerana melanggar sumpah jawatan mereka.
Pemecatan itu menyusul kenyataan yang dikeluarkan mereka lima hari sebelumnya bagi menyokong deklarasi menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Ismail Lasim, berkata ketiadaan exco tidak akan menjejaskan pembentangan belanjawan negeri 2027.
Menurutnya, kerajaan negeri boleh mengemukakan belanjawan yang disediakan jabatan negeri di Dewan Undangan Negeri tanpa exco.
Sasar kerusi Parlimen pada PRU16
Dalam ucapannya, Aminuddin kesal kerana kerajaan negeri pimpinannya kehilangan kuasa walaupun mencatatkan pelbagai kejayaan. Beliau menyalahkan serangan terhadap DAP serta eksploitasi isu perkauman oleh BN dan PN.
Beliau menggesa PH Negeri Sembilan memperkukuhkan gabungan itu dan berusaha mengekalkan kerusi Parlimen sedia ada, selain memenangi lebih banyak kerusi pada PRU16.
Katanya, PH perlu menyasarkan kerusi Parlimen Tampin, Kuala Pilah dan Rembau.
“Tak apa kita tewas. Rakyat Negeri Sembilan sedang melihat apa yang berlaku dan saya yakin mereka dapat menilai siapa yang boleh menjalankan tugas dan siapa yang hanya pandai bercakap besar, tetapi gagal memikul tanggungjawab.
“Kita masih ada masa. Teruskan usaha dan pastikan kita dapat memenangi PRU akan datang serta menambah bilangan kerusi,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.