
Presiden PAS, Hadi Awang mengesahkan partinya kini sedang berunding dengan Barisan Nasional (BN) berhubung agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, pada peringkat ini, PAS pada dasarnya bersetuju BN mengekalkan 14 kerusi yang disandang parti itu, manakala PAS akan kekal bertanding di tiga kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lalu.
Menurutnya, baki 17 kerusi yang belum ditentukan akan dimuktamadkan menerusi rundingan lanjut antara kedua-dua parti.
“Ya, kita sedang berusaha bekerjasama dengan BN, dan pada peringkat awal lagi kita telah cuba bekerjasama untuk mengambil alih kerajaan melalui akaun berkanun (SD), namun malangnya dua Adun Bersatu menarik diri,” katanya menurut Sinar Harian, di Seremban malam tadi.
“BN sudah mendapat 14 kerusi dan kita lima kerusi, termasuk dua kerusi Bersatu, yang baki itu kita akan bahagikan.”
Hadi: PAS terima realiti BN dominasi
Hadi turut menyatakan pihaknya bersedia menunggu pengumuman rasmi calon yang akan bertanding.
“Tunggu nama calon diumumkan nanti. Tapi, kita terima hakikat Negeri Sembilan, BN dominasi, dia pimpin,” katanya, sambil menambah bahawa PAS tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada BN atas faktor perpaduan Melayu-Islam.
Latar belakang krisis politik Negeri Sembilan
Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi, melibatkan DAP 11 kerusi, PKR lima kerusi, dan Amanah satu kerusi.
BN pula menguasai 14 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi, dengan dua daripadanya diwakili Bersatu.
Pada April lalu, semua Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang keyakinan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun, sekali gus menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.
Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata keputusan itu dibuat susulan krisis yang didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri dan kini menjadi tumpuan umum.
Situasi berkenaan akhirnya membawa kepada pembubaran DUN pada 5 Jun. Hari pengundian PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos, manakala penamaan calon pada 18 Julai, dan pengundian awal akan berlangsung pada 28 Julai.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.