
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, menyarankan PAS meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan membentuk gabungan politik baharu, manakala Bersatu pula dicadangkan kekal dalam PN bersama parti lain dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
Tun Faisal berkata, sepanjang bekerjasama dalam PN, PAS dilihat tidak komited dengan gabungan itu kerana terbabit dalam rundingan politik di luar pengetahuan rakan-rakan gabungan, seperti yang berlaku dalam insiden yang dikenali sebagai Langkah Bangkok.
Beliau turut mendakwa PAS secara berulang kali menyuarakan hasrat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama Umno.
“PAS juga didakwa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tanpa pengetahuan Bersatu atau PN,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.
PAS dipersoal soal kesetiaan kepada jenama PN
Tun Faisal berkata PAS turut dilihat kurang setia kepada jenama PN, antaranya di Kelantan dan Terengganu, di mana parti itu lebih mengutamakan logo PAS berbanding logo gabungan. Di Johor pula, terdapat cadangan untuk bertanding menggunakan logo yang sama.
Beliau turut mendakwa kepimpinan PN yang diterajui PAS gagal mengurus beberapa isu dalaman dengan berkesan, termasuk kelewatan mengadakan mesyuarat penting dan rundingan berkaitan pembahagian kerusi pilihan raya.
“Beberapa keputusan penting PN, termasuk berkaitan pelantikan Ketua Pembangkang dan pindaan perlembagaan gabungan itu juga didakwa mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan,” katanya.
Menurut Tun Faisal, struktur membuat keputusan dalam PN turut menjadi kurang efektif apabila beberapa keputusan perlu dirujuk semula kepada kepimpinan PAS dan Majlis Syura Ulama sebelum dimuktamadkan, menjadikan prosesnya lebih perlahan berbanding keperluan semasa politik negara.
Imej PN terjejas, cabaran menarik pengundi bukan Melayu
Beliau berpendapat identiti PN sebagai gabungan berimej biru dan lebih inklusif turut terjejas apabila semakin sinonim dengan imej PAS yang berteraskan warna hijau.
“Dalam keadaan itu, PN berdepan cabaran untuk menarik sokongan parti serta pengundi bukan Melayu,” katanya.
Tun Faisal turut mendakwa beberapa kenyataan dan tindakan politik PAS dilihat tidak selari dengan kepentingan PN, malah ada yang dianggap menguntungkan pihak lain dan melemahkan kedudukan gabungan itu.
“Jika benar khabar angin bahawa PAS sudah ada rundingan dengan Umno serta tidak akan bertanding dalam PRN Johor dan akan ditawarkan kerusi ADUN lantikan selepas PRN Johor, maka bukankah lebih baik dan lebih wajar PAS secara sukarela meninggalkan PN dan bersama Umno dalam MN,” katanya.
“Jika khabar angin ini benar, tidak wajar untuk PAS terus mempengerusikan PN. Bukankah itu lebih baik daripada PAS dilihat cuba mensabotaj Bersatu, PN dan parti-parti lain yang mahu bersama PN?” tambahnya.
Bersatu disaran teruskan PN bersama IPR
Justeru, Tun Faisal mencadangkan supaya Bersatu meneruskan PN bersama IPR bagi memastikan kelangsungan dan pengukuhan jenama gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menegaskan bahawa berdasarkan perkembangan semasa, PAS kini dilihat lebih menjadi liabiliti berbanding aset kepada PN, kerana didakwa kurang komited terhadap gabungan serta menjejaskan usaha memperkukuhkan kedudukan politik PN.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.