
Seorang pemimpin PAS Melaka berkata partinya akan terus mengutamakan perpaduan ummah dalam soal agihan kerusi, susulan hasrat Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di 21 daripada 28 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha PAS Melaka, Muhammad Jailani Khamis, tidak menjelaskan secara lanjut sama ada ini bermaksud PAS akan memberi laluan kepada BN seperti yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan. Namun beliau menegaskan pihaknya akan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh pimpinan.
“Hasrat BN yang mahu kekal bertanding di 21 kerusi DUN menunjukkan hati budi dan pendirian mereka.
“PAS dan PN tetap mementingkan perpaduan ummah dan penyatuan bangsa,” katanya kepada FMT.
“Pada dasarnya kita akan mengikut apa sahaja keputusan pimpinan.”
Kenyataan Jailani ini adalah ulasan terhadap kenyataan Pengerusi BN, Zahid Hamidi bahawa gabungan itu berhasrat mempertahankan semua 21 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRN Melaka lalu.
BN terbuka kepada persefahaman dengan PN
Presiden Umno itu turut menyatakan BN terbuka untuk mengadakan persefahaman dengan mana-mana pihak, termasuk PN, sepertimana yang berlaku pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini. Kerjasama itu menyaksikan BN menguasai 25 daripada 36 kerusi di negeri tersebut.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, lima kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH), manakala PN pula memperoleh dua kerusi sahaja.
Bagaimanapun, jumlah kerusi BN berkurangan kepada 20 selepas Jailani, yang juga Adun Rembia, menyertai PAS pada 2023.
Wawasan serah rundingan kepada pimpinan
Sementara itu, pemimpin Parti Wawasan Negara (Wawasan) Melaka, Mohd Yadzil Yaakub turut menyerahkan urusan rundingan kerusi dan kerjasama antara PN dengan BN kepada pucuk pimpinan masing-masing.
Adun Bemban yang juga ketua pembangkang di DUN Melaka itu berpandangan rundingan tersebut sebaiknya diserahkan kepada kebijaksanaan Presiden Wawasan, Hamzah Zainudin.
Terdahulu, FMT melaporkan pandangan penganalisis politik Syaza Shukri yang menjangkakan PN akan menuntut sekurang-kurangnya separuh daripada 28 kerusi pada PRN Melaka akan datang.
Menurut Syaza, tuntutan itu bersandarkan kemenangan PN di tiga kawasan Parlimen Melaka pada PRU15, iaitu Masjid Tanah, Tangga Batu serta Jasin. Ketiga-tiga kawasan Parlimen itu merangkumi 14 kerusi DUN, dan 12 daripadanya turut dikuasai BN.
PAS sebelum ini telah mengumumkan hasrat untuk bertanding di 16 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka, termasuk mencabar Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh di kerusi Tanjung Bidara.
Antara kerusi lain yang disasarkan oleh parti itu ialah Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Ayer Limau, Kuala Linggi, Rembia, Durian Tunggal, Pengkalan Batu, Duyong, Merlimau dan Serkam.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.