
PAS menegaskan bahawa sebarang keputusan penting yang bakal dibuat parti itu dalam masa terdekat akan mengambil kira tahap kepercayaan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), susulan beberapa episod yang didakwa telah menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata walaupun hubungan dan kerjasama politik boleh diteruskan, aspek kepercayaan merupakan perkara yang berbeza dan tidak mudah dipulihkan apabila sudah terhakis.
“Hubungan boleh diteruskan. Kerjasama boleh diperkukuhkan semula. Namun kepercayaan adalah perkara yang berbeza. Trust, once broken, is hard to rebuild,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang menyatakan hasrat untuk terus mengekalkan hubungan baik dengan PAS dalam PN.
Keikhlasan Muhyiddin tidak diragui, tapi tindakan yang menentukan
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyatakan beliau tidak meragui keikhlasan Muhyiddin dalam mengutarakan pendirian tersebut. Bagaimanapun, Ahmad Fadhli menegaskan bahawa hubungan politik yang dibina atas nama persefahaman dan kepercayaan tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan kenyataan yang baik sahaja.
“Ia juga perlu diukur melalui tindakan yang berlaku ketika berdepan saat-saat yang paling kritikal,” katanya.
Beliau turut membangkitkan semula isu di Perlis, di mana Bersatu didakwa menghantar nama calon Menteri Besar daripada partinya sendiri tanpa sebarang rundingan terlebih dahulu dengan PAS.
“Jika sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 pun Bersatu boleh menghantar nama calon Menteri Besar tanpa sebarang rundingan dengan PAS, apakah jaminan bahawa perkara yang sama tidak akan berulang selepas pilihan raya akan datang?” soalnya.
Episod Negeri Sembilan turut dipersoalkan
Ahmad Fadhli turut mengaitkan isu di Negeri Sembilan(NS), yang menurutnya menyaksikan pendirian bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PN diubah menerusi keputusan Biro Politik Bersatu tanpa sebarang rundingan dengan PAS atau kepimpinan PN yang lain.
Beliau menyifatkan alasan bahawa Setiausaha Agung PAS gagal dihubungi sebagai penjelasan yang sukar difahami.
“Apakah keadaan yang begitu mendesak sehingga keputusan yang telah dipersetujui bersama perlu diubah serta-merta? Apakah hambatan yang menyebabkan rundingan tidak boleh dilakukan terlebih dahulu?” soalnya.
Kepercayaan dibina melalui tindakan, bukan ucapan
Ahmad Fadhli menegaskan bahawa kedua-dua episod tersebut telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap tahap kepercayaan antara rakan-rakan dalam PN.
“Kepercayaan bukan dibina melalui ucapan. Ia dibina melalui tindakan. Dan apabila kepercayaan itu tergores, proses untuk memulihkannya jauh lebih sukar daripada proses untuk merosakkannya,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan jaminan bahawa sebarang keputusan berkaitan calon Menteri Besar atau Perdana Menteri tidak akan dibuat secara unilateral tanpa rundingan terlebih dahulu bersama rakan-rakan dalam PN.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.