
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, berkata kemenangan PAS paling besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor adalah kerana berjaya menamatkan riwayat Bersatu secara total.
Puad berkata PAS sebelum ini berusaha untuk melemahkan Bersatu dengan menyokong Parti Wawasan Negara pimpinan Hamzah Zainudin.
“Tetapi kali ini memang Bersatu ranap terus,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Pada 8 Jun lalu, PAS mengumumkan menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu, walaupun kedua-dua parti masih kekal dalam Perikatan Nasional (PN).
Kedua-dua parti tidak berkempen antara satu sama lain di PRN Johor, malah PAS mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi PN.
PAS bayar harga mahal
Puad berkata, PAS membayar harga yang mahal di PRN Johor kerana mengamal politik pelik dengan sanggup “bunuh” rakan komponen sendiri.
“Kini PAS lengkap sebagai parti yang tidak boleh jadi rakan kongsi. PAS adalah the loser. Maka tidak wajar PAS dapat Adun lantikan,” katanya.
Dalam PRN Johor semalam, BN menang besar apabila meraih 48 daripada 56 kerusi dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi baki lapan kerusi.
PN yang mempertaruhkan 16 calon daripada Bersatu, 11 PAS, MIPP (lima) dan Pejuang (satu) kalah di semua kerusi yang ditandingi, termasuk tiga yang dimenangi pada PRN 2022.
Gelombang biru punca sebenar kemenangan BN
Puad, yang mengumumkan keluar Umno menjelang PRN Johor, turut menolak tanggapan bahawa undi daripada penyokong PAS adalah antara faktor penyumbang kemenangan besar BN.
“Kalau benar penyokong PAS mengundi BN, rasanya ia terlalu kecil kerana undi yang PAS dapat di Tiram, Tenang, Kahang, Jementah dan Simpang Jeram terlalu kecil.
“Maka kemenangan BN sudah tentu kerana gelombang biru yang terlalu kuat di samping pengundi Cina yang kembali menyokong BN,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.