
Parti Demokratik Progresif akan mempertahankan kesemua lapan kerusi yang kini dikuasainya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Presidennya, Tiong King Sing, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan prestasi para penyandang yang disifatkan telah bekerja keras dan layak diberi peluang untuk terus berkhidmat kepada pengundi di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, penggabungan PDP dengan Parti Sarawak Bersatu pada April 2024 telah memperkukuh kedudukan parti itu secara ketara, selain meningkatkan jumlah keahlian kepada 205,000 orang di seluruh negara.
“Ini mencerminkan keyakinan rakyat terhadap semangat kekeluargaan dan perjuangan kita,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tri Tahunan (TGA) PDP 2026 yang dirasmikan Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg, di sini pada Sabtu.
PDP pertahan lapan kerusi sedia ada
Lima daripada lapan kerusi berkenaan, iaitu Tasik Biru, Meluan, Krian, Marudi dan Dudong dimenangi PDP pada PRN Sarawak ke-12.
Baki tiga lagi kerusi, iaitu Bawang Assan, Engkilili dan Ba’kelalan, diperoleh selepas pembubaran PSB serta penyerapan ahlinya secara blok ke dalam PDP.
King Sing berkata, PDP kini muncul sebagai antara komponen penting dalam Gabungan Parti Sarawak dan perlu memainkan peranan lebih besar dalam landskap politik negeri, khususnya dalam memperjuangkan hak Sarawak serta agenda pembangunan.
Sokongan kepada kepimpinan GPS diteruskan
Beliau turut menegaskan sokongan penuh PDP terhadap kepimpinan Abang Johari dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menurutnya, prinsip perkongsian kuasa, muafakat dan saling menghormati dalam GPS mesti terus dipelihara bagi mengekalkan keharmonian gabungan tersebut.
Pada masa sama, beliau menolak sebarang bentuk campur tangan yang boleh menjejaskan kestabilan dan kesepakatan dalam gabungan politik itu.
TGA platform perkukuh perpaduan parti
King Sing berkata, PDP tidak akan berkompromi dalam perkara membabitkan kepentingan negeri dan kekal komited memperjuangkan hak seluruh rakyat Sarawak secara tegas.
Katanya, TGA 2026 bukan sekadar proses organisasi, sebaliknya menjadi platform penting untuk merangka strategi, memperkukuh perpaduan dalaman serta mempersiapkan parti menghadapi pilihan raya akan datang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.