
Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 yang menghimpunkan kira-kira 5,000 perwakilan dan pimpinan dari seluruh negara telah membuka tirai hari ini, dengan fokus utama tertumpu kepada persediaan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bertemakan “Tekad MADANI, Harapan Rakyat”, konvensyen sehari itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dan bermula pada pukul 8.30 pagi menerusi Sesi Dialog Awam Sayap PH, diikuti ucapan pengerusi PH negeri.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, dijadualkan menyampaikan amanat utama dan merasmikan kemuncak konvensyen itu pada sebelah petang.
Sesi Majlis Presiden dan ucapan pemimpin kanan
Kehadiran pimpinan utama gabungan itu dijadualkan bermula pada pukul 1.30 tengah hari dalam Sesi Majlis Presiden.
Antara pemimpin yang dijangka menyampaikan ucapan ialah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, serta Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail.
Amanat Anwar yang dijadualkan pada pukul 3.35 petang pula dijangka menyentuh hala tuju strategik gabungan itu, khususnya bagi menghadapi PRN Johor dan Melaka yang semakin menghampiri, selain memperkukuh kerjasama Kerajaan Perpaduan menjelang PRU16.
Penyerahan Kit Jentera Pilihan Raya jadi acara simbolik
Selain siri ucapan politik, konvensyen kali ini turut menyaksikan acara simbolik Penyerahan Kit Jentera Pilihan Raya, sebagai lambang kesiapsiagaan jentera di peringkat akar umbi.
Suasana di pekarangan Persada Johor pada pagi ini kelihatan meriah dengan kehadiran perwakilan yang mengenakan pakaian seragam parti masing-masing, mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan parti komponen PH iaitu PKR, DAP dan Amanah.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.