
Pakatan Harapan (PH) Johor mengumumkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sebagai tindak balas langsung terhadap keputusan Barisan Nasional (BN) negeri yang lebih awal mengisytiharkan pendirian serupa.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata keputusan itu dibuat selepas Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, semalam mengisytiharkan BN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN.
“Maka, PH Johor juga akan turut sama bertanding kepada 56 kerusi. Mereka telah berikan laluan, mereka telah buka laluan, mereka telah berikan kata putus, maka kami tidak akan berundur,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH di Johor Bahru.
Aminolhuda menegaskan PH Johor tidak akan merayu atau berbincang soal peruntukan kerusi, sekali gus menolak sebarang rundingan dengan BN dalam hal tersebut.
“Ada negeri lain yang persoalkan mengapa kita mahu menentang sekutu sendiri, jawapannya mudah, kerana mereka yang dahulu isytihar. Mereka sudah umum, jadi kita sambut,” katanya.
Rekod PRN 2022 dan keyakinan menjelang PRN akan datang
Dalam PRN Johor 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN. PH pula menang 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi, dan Muda satu kerusi.
DUN Johor akan terbubar secara automatik pada April 2027 sekiranya pilihan raya tidak diadakan sebelum tempoh itu tamat, dan selepas pembubaran, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
PH Johor yakin dapat ulang kejayaan PRU14
Aminolhuda turut menzahirkan keyakinan PH Johor mampu mengulangi prestasi cemerlang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, apabila gabungan itu memenangi 18 daripada 26 kerusi Parlimen, berbanding lapan kerusi yang dimenangi BN.
Beliau berkata, Johor kekal memihak secara politik kepada PH, didorong oleh kekuatan gabungan itu di peringkat Parlimen serta sokongan kukuh di kawasan bandar.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.