
Krisis politik di Negeri Sembilan terus memuncak apabila Pemuda Amanah negeri mendesak semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Umno yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun, mengosongkan kerusi masing-masing.
Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Zainal Lutfi, berkata langkah mengadakan pilihan raya kecil di semua 14 kerusi terbabit perlu bagi memulihkan semula kerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Pemuda Amanah mahu PRK di 14 kerusi
Walaupun mengakui Pilihan Raya Negeri antara penyelesaian yang boleh dipertimbangkan, beliau berpandangan lebih wajar untuk 14 ADUN Umno terbabit mengosongkan kerusi yang dimenangi menerusi kerjasama bersama Pakatan Harapan.
“Laksanakan PRK tiga penjuru untuk semua 14 kerusi itu. Biarkan pengundi yang tentukan nasib kerusi terbabit.
“Jangan hukum kerusi Dewan Undangan Negeri lain kerana tindakan 14 ADUN itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dakwa tindakan Umno jejaskan kerjasama
Dalam pada itu, Zainal mengakui keputusan pimpinan Pakatan Harapan dan Umno untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan ibarat menyimbah garam ke luka penggerak dan penyokong PH.
Beliau berkata, polemik yang berlaku ketika ini berpunca daripada keinginan Umno untuk mendapatkan jawatan Menteri Besar sehingga sanggup meruntuhkan Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.
Menurutnya, tindakan 14 ADUN Umno itu juga disifatkan membelakangkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang telah melantik serta menitahkan Menteri Besar daripada PH untuk terus berkhidmat.
“Adalah kerja gila untuk membuat kerjasama kembali dengan pihak yang secara jelas berkhianat.
“Mereka juga mendapat pelbagai kelebihan daripada Menteri Besar sehingga ramai penggerak PH makan hati. Segala kelebihan itu akhirnya dibalas tuba dan tikaman,” katanya.
Gesa tindakan lebih tegas diambil
Beliau turut mengingatkan bahawa beberapa kerusi yang dimenangi BN pada pilihan raya lalu diperoleh hasil kerjasama parti komponen dan sokongan pengundi PH.
Katanya, Amanah sendiri pernah mengorbankan kerusi Lenggeng yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi memberi laluan kepada BN bertanding sehingga berjaya memenangi kerusi berkenaan.
“Permohonan maaf tidak cukup. Hukuman lebih tegas perlu diberikan kepada mereka jika ingin membina semula Kerajaan Perpaduan.
“Jawatan seperti ketua kampung dan ahli majlis dari BN perlu segera dikosongkan. Membiarkan pengkhianat untuk terus berada dalam kerajaan adalah kesilapan besar,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.