
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar, diminta memainkan peranan yang sewajarnya dalam menguruskan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan bagi mengelakkan pelbagai isu dalaman terus berlarutan.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata keperluan mendapatkan kebenaran Pengerusi PN bagi mengadakan sebarang aktiviti atau mesyuarat menggunakan nama gabungan itu hanya akan berkesan sekiranya pemegang jawatan terbabit benar-benar menjalankan tanggungjawabnya.
“Atas sebab itu Pengerusi PN perlu berfungsi. Masalah timbul apabila Pengerusi PN tidak memainkan peranan yang sepatutnya dan seolah-olah ghaib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, yang menegaskan sebarang aktiviti atau mesyuarat menggunakan nama gabungan itu tidak boleh diadakan tanpa keizinan Ahmad Samsuri.
Takiyuddin dilaporkan berkata, ketetapan itu dibuat bagi memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan gabungan dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966.
Sebelum itu, satu hantaran yang tular mendakwa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN akan diadakan di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
Ahmad Samsuri perlu panggil pelbagai mesyuarat penting
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata Ahmad Samsuri sepatutnya memanggil mesyuarat MT PN, mesyuarat rundingan kerusi, mesyuarat persiapan pilihan raya serta mesyuarat jawatankuasa pakatan pilihan raya bagi membincangkan pelbagai perkara yang masih belum diselesaikan.
“Soal PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu itu satu hal, tetapi Ahmad Samsuri masih Pengerusi PN dan Bersatu adalah anggota PN.
“Yang disibukkan oleh PAS adalah menguruskan hal pihak yang bukan anggota PN, termasuk melancarkan parti yang masih belum diluluskan namanya,” katanya.
Kemelut mesti selesai sebelum penamaan calon PRN
Tun Faisal turut menegaskan kemelut antara PAS dan Bersatu perlu diselesaikan segera sebelum proses penamaan calon bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan bermula, kerana kegagalan berbuat demikian hanya akan mengundang lebih banyak spekulasi mengenai hala tuju gabungan itu.
“Apabila PAS dilihat melengah-lengahkan persiapan, tidak memanggil mesyuarat MT, mesyuarat persiapan pilihan raya, mesyuarat rundingan kerusi dan mesyuarat jawatankuasa electoral pact, timbul pelbagai spekulasi di sebalik tindakan PAS ini,” katanya.
Beliau turut menyebut mengenai desas-desus bahawa terdapat tawaran daripada Umno untuk memberi PAS jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dengan syarat PAS tidak bertanding di Johor.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.