
Pendakwa persekutuan Amerika Syarikat pada 8 Disember mendedahkan dokumen siasatan berkaitan satu rangkaian penyeludupan besar yang didakwa menghantar cip kecerdasan buatan Nvidia secara haram ke China.
Siasatan yang dinamakan “Operation Gatekeeper” itu memberi tumpuan kepada penyeludupan cip pemproses grafik (GPU) Nvidia, termasuk H100 dan H200, yang tertakluk kepada kawalan eksport keselamatan negara AS.
Pihak berkuasa mendakwa sindiket itu menggunakan syarikat proksi, pendatang haram dan gudang rahsia di New Jersey yang telah disusupi ejen penyamar. Nilai cip yang cuba dieksport dianggarkan sekurang-kurangnya AS$160 juta antara Oktober 2024 hingga Mei 2025.
Siasatan mendapati cip tersebut dilabel semula dan diisytiharkan sebagai komponen elektronik biasa dalam dokumen penghantaran.
Pada 28 Mei, pihak berkuasa bertindak menyekat penghantaran apabila trak tiba untuk mengambil cip di gudang berkenaan.
Penganalisis berkata China masih bergantung kepada teknologi Nvidia walaupun membangunkan cip AI tempatan.
Nvidia memaklumkan bahawa syarikat mematuhi kawalan eksport AS dan bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi mengelakkan penyeludupan cip.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.