
Peruntukan kerajaan persekutuan bagi pembangunan infrastruktur di Negeri Sembilan (NS) memainkan peranan penting dalam menyokong pelaburan yang diluluskan supaya dapat diterjemah kepada pertumbuhan ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Afzanizam Abdul Rashid, berkata selepas Negeri Sembilan merekodkan pelaburan tertinggi dalam sejarah pada 2025 dengan nilai RM19.1 bilion menerusi 295 projek yang diluluskan, persoalan utama kini ialah sejauh mana ia dapat direalisasikan.
“Pelaburan dalam pusat data dijangka menjadi antara tunjang yang akan mewarnai landskap pelaburan Negeri Sembilan. Justeru, kita akan melihat lonjakan pertumbuhan ekonomi hasil pelaburan yang diluluskan.
“Di sinilah pentingnya peruntukan pembangunan dan infrastruktur yang disediakan kerajaan persekutuan bagi menyokong pelaksanaan projek serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat,” katanya kepada FMT.
Afzanizam berkata, apabila pelaburan itu dilaksanakan, ia mewujudkan kesan limpahan kepada pelbagai sektor termasuk pembinaan, kejuruteraan dan perkhidmatan kewangan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Katanya, justeru tumpuan berterusan terhadap pembangunan infrastruktur asas termasuk sekolah, hospital, bekalan air dan jalan raya juga penting bagi melancarkan perancangan ekonomi yang membawa manfaat langsung kepada rakyat.
Perbelanjaan persekutuan meningkat kepada RM6 bilion pada 2026
Sejak kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran, perbelanjaan persekutuan untuk Negeri Sembilan meningkat daripada RM4.4 bilion kepada kira-kira RM6 bilion pada 2026, dengan 302 projek pembangunan diluluskan membabitkan peruntukan RM1.35 bilion.
Antara projek utama adalah pembangunan berorientasikan transit (TOD) Seremban Sentral, naik taraf jalan luar bandar, pembangunan infrastruktur Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0, projek tebatan banjir serta bekalan air.
Turut bakal dilaksanakan pembinaan Hospital Tuanku Ja’afar 2, sekolah baharu di Desa Casuarina, Mahkamah Nilai dan Klinik Kesihatan Teluk Kemang.
Afzanizam berkata, Negeri Sembilan juga mempunyai kedudukan strategik kerana berhampiran Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekali gus berpotensi menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, logistik serta aeroangkasa.
Bagaimanapun, katanya, kelebihan itu perlu disokong ekosistem perniagaan yang lengkap termasuk infrastruktur moden, industri sokongan dan tenaga kerja mahir bagi memastikan pelaburan masuk dapat berkembang secara mampan.
Penduduk akui manfaat pembangunan infrastruktur
Sementara itu, penduduk Amran Ahmad, 57, mengakui menerima manfaat hasil pembangunan rangkaian jalan raya termasuk Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) yang memberi kesan positif kepada perniagaannya.
“Dahulu jalan ini kecil sahaja, selepas pembinaan Lekas barulah laluan ini semakin sibuk, dan membantu menarik kehadiran lebih ramai pelanggan ke kedai kami,” katanya yang mengusahakan kedai makan bersama isteri.
Katanya, peruntukan kerajaan persekutuan amat bertepatan bagi menampung kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk di Negeri Sembilan yang memerlukan infrastruktur jalan raya berkualiti.
Putra Mohamad, 45, yang menetap di Negeri Sembilan sejak 1989, berkata pembangunan di negeri itu memperlihatkan perubahan amat ketara.
“Kalau dikenang bezanya dahulu dengan sekarang, memang terlalu banyak perubahan dan pembangunan yang berlaku. Setakat ini, Alhamdulillah bertambah baik.
“Hospital memang perlu dinaik taraf kerana pesakit semakin ramai. Jalan raya juga perlu terus ditambah baik untuk mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak,” kata pesara kerajaan itu.
Razilah Yusof, 70, pula menyaksikan sendiri perubahan besar di negeri itu dan bersyukur dengan segala pembangunan yang dilaksanakan untuk kesenangan rakyat.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan yang banyak membawa perubahan termasuk di Benteng Ampangan ini dan juga jalan-jalan raya. Luas mata memandangnya dengan hati yang gembira,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.