
Penganalisis berkata masalah utama Pakatan Harapan (PH) bukan kerana tiada pencapaian ketika mentadbir, sebaliknya kerana gagal menterjemahkan pencapaian itu menjadi naratif politik yang meyakinkan.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata PH bergelut untuk menunjukkan kepada pengundi skeptikal, khususnya orang Melayu, bagaimana dasarnya memanfaatkan mereka.
“Mereka mempunyai banyak perkara untuk ditonjolkan, tetapi malangnya naratif ia baik untuk semua rakyat Malaysia tidak begitu berkesan bagi masyarakat Melayu,” katanya kepada FMT.
Mesej berbeza BN dan PH cetus kekeliruan
Menurut Syaza, keadaan bertambah rumit kerana Barisan Nasional (BN), rakan PH dalam kerajaan perpaduan, menyampaikan mesej yang berbeza.
“Apabila PH bercakap tentang reformasi, BN-Umno terus bercakap mengenai isu kaum atau komuniti yang mengalih perhatian (masyarakat Melayu),” katanya.
Komen Syaza menyusuli amaran yang diberikan oleh bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, bahawa strategi menggambarkan PAS sebagai “bogeyman” agama untuk mengukuhkan sokongan bukan Melayu semakin kurang berkesan, seperti terbukti dalam prestasi buruk PH pada PRN Johor.
“Ketakutan tidak lagi memadai untuk menggantikan tadbir urus, reformasi dan penyampaian,” kata Santiago.
Menjelang PRN Johor, calon dan pemimpin PH merujuk kepada “bahaya” jika PAS berkuasa. Sebagai respons, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, mendakwa retorik menakut-nakutkan sedemikian menandakan gabungan itu berada dalam keadaan tidak stabil.
PH membina reputasinya melalui gerakan Reformasi serta janji untuk melaksanakan pembaharuan institusi. Walaupun beberapa perubahan dilaksanakan PH selepas berkuasa pada 2018, agenda itu terhenti selepas pentadbirannya digulingkan pada 2020 dan kini bergerak pada kadar yang lebih perlahan di bawah pentadbiran semasa.
Syaza menegaskan penekanan berterusan terhadap ancaman yang dibawakan PAS lebih mencerminkan keutamaan elemen tertentu dalam DAP, bukan keseluruhan PH.
“Bercakap mengenai reformasi tidak berhasil dalam kerajaan perpaduan ini,” katanya.
PH tersepit antara pengundi Melayu dan bukan Melayu
Oh Ei Sun dari Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia berkata pengalaman mentadbir menyebabkan PH kehilangan daya tarikan anti-establishment yang pernah menguatkan penyokongnya, mengakibatkan gabungan itu tersepit antara usaha memikat pengundi Melayu yang masih ragu-ragu dan risiko menjejaskan sokongan tradisional bukan Melayunya.
“PH terlalu berusaha memenuhi tuntutan pengundi Melayu yang belum yakin dengannya dan pada masa yang sama, ia kehilangan teras sokongan bukan Melayu.
“PH sangka mereka boleh menakutkan penyokong bukan Melayu untuk terus menyokong mereka, tetapi penyokong yang dahulunya setia kini melihat gabungan itu semakin menyerupai PAS yang mereka takuti,” katanya.
Syaza pula berkata taktik itu mungkin mencapai tahap tepu dalam kalangan pengundi bukan Melayu, yang kebanyakannya disifatkan beliau sebagai pasrah dengan realiti berdepan politik berpusatkan Islam dan Melayu di Malaysia.
Dalam kalangan pengundi Melayu pula, katanya, rayuan berasaskan identiti masih berpengaruh kerana kebimbangan terhadap usaha mengekalkan kedudukan politik mereka terus bergema.
Namun, Oh menegaskan naratif berasaskan ketakutan masih menjadi pertimbangan penting dalam pilihan raya. Beliau bagaimanapun berkata mesej sedemikian hanya berkesan jika sesebuah parti politik mampu meyakinkan pengundi bahawa mereka benar-benar mampu menangani risiko yang diketengahkan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.