
Platform Perikatan Nasional (PN) mungkin menjadi kunci kepada cita-cita PAS untuk menawan Putrajaya, kata penganalisis politik.
Penganalisis Asrul Sani berkata jenama PN boleh membantu PAS melembutkan imej dogmatiknya dan menarik sokongan yang lebih luas. Ahli akademik Azmil Tayeb pula berpendapat ia boleh menjadi jambatan ke kawasan yang masih belum ada pengaruh besar parti itu.
Mereka berkata perkara itu boleh membantu parti Islam tersebut memperoleh pengaruh di kerusi separa bandar, sekali gus membolehkannya berkembang melangkaui kawasan kubu tradisinya.
PN platform pembangkang ‘sudah siap’
Asrul, yang juga naib presiden di penyedia perkhidmatan perunding The Asia Group, memberitahu FMT bahawa PAS akan mengehadkan jangkauannya jika bertanding menggunakan panji sendiri. Keadaan itu sekali gus menjejaskan hasrat parti berkenaan menjadi kerajaan menanti.
Beliau berkata PN memberikan PAS platform pembangkang nasional yang ‘sudah siap’, membolehkan parti itu memperluaskan identitinya melangkaui ciri-ciri Islam semata-mata.
Azmil dari Universiti Sains Malaysia berkata nilai PN kepada PAS juga terletak pada keupayaannya menjadi jambatan ke kawasan yang sebelum ini kurang mendapat pengaruh parti itu.
“Menjadi sebahagian daripada PN memberikan PAS akses ke kawasan-kawasan di Malaysia yang kurang dapat pengaruh parti itu. Ia memberi PAS peluang untuk bertanding di lebih banyak kerusi, seperti yang dilakukannya pada PRU15,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Azmil berpendapat peluasan pengaruh PAS sebahagian besarnya melibatkan peningkatan pengaruh Melayu-Islam di seluruh negara, bukannya membina daya tarikan yang lebih luas dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Niat PN selama ini adalah untuk memaksimumkan undi Melayu dengan memberi tumpuan kepada agenda perpaduan Melayu-Islam, yang dilakukan dengan mengorbankan undi bukan Melayu,” katanya.
Beliau berkata walaupun PAS bertanding solo pada PRU16, asas sokongannya cukup kukuh untuk memperoleh sekurang-kurangnya 30 kerusi. Ini sekali gus memastikan parti itu kekal sebagai pemain utama selepas pilihan raya.
Keabsahan PN dipersoal
Bagaimanapun, PAS mungkin tidak dapat menggunakan platform PN untuk bertanding dalam masa terdekat. Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) pada 23 Sept lalu menggantung semua aktiviti gabungan itu.
Tindakan tersebut susulan aduan Bersatu, parti komponen PN, terhadap gabungan berkenaan.
JPPM juga mengeluarkan notis yang mengarahkan PN menjelaskan mengapa pendaftarannya tidak sepatutnya dibatalkan.
PN telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kedua-dua notis tersebut. Gabungan itu juga memohon penjelasan mengenai aduan Bersatu dan sama ada ia layak mengemukakan calon, khususnya pada PRN Melaka yang akan datang.
PAS kekal pragmatik
Asrul berkata keputusan PN mengambil tindakan undang-undang berhubung notis JPPM itu menunjukkan PAS berhasrat mengekalkan pengaruhnya dalam gabungan tersebut, bukannya membubarkannya.
Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, merupakan pengerusi PN.
“PAS mungkin tidak bersedia untuk meninggalkan PN sepenuhnya, tetapi berkemungkinan cuba memastikan gabungan itu beroperasi mengikut terma yang mencerminkan kekuatan PAS dan tidak mengehadkan rundingan kerusi atau strategi PRU16,” katanya.
Mengulas laporan PAS dan Umno sudah mengadakan rundingan mengenai kemungkinan bekerjasama dalam pilihan raya akan datang, Asrul berkata sejak bertahun-tahun PAS sering membentuk dan membubarkan pakatan merentasi spektrum politik.
“PAS sentiasa bersikap pragmatik dari segi politik. Ia berulang kali menyesuaikan diri dengan pakatan apabila melihat laluan yang lebih baik untuk mendapatkan kuasa.
“Ini termasuk kerjasama terdahulunya dengan DAP di bawah Pakatan Rakyat, dengan Umno di bawah Muafakat Nasional, dan kemudiannya dengan Bersatu di bawah PN,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.