
Perikatan Nasional (PN) memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar notis yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) terhadap gabungan itu.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata permohonan itu membabitkan lima pemohon yang terdiri daripada setiausaha agung parti anggota PN.
Katanya, dua pihak dinamakan sebagai responden dan turut disaman dalam permohonan tersebut, iaitu Pendaftar JPPM, Muhammad Zulfikar Ahmad, dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Perintah certiorari dipohon
“Permohonan itu membabitkan beberapa perkara yang disebut sebagai perintah ‘certiorari’, iaitu untuk membatalkan notis yang dikeluarkan oleh JPPM terhadap PN.
“Pertamanya ialah notis bertarikh 22 Sept di bawah Seksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 yang meminta PN memberi penjelasan kepada JPPM supaya cadangan membatalkan PN tidak boleh dibuat.
“Kedua ialah PN juga meminta satu deklarasi bahawa notis di bawah Seksyen 13(2A) untuk menggantung semua kegiatan PN sehingga tarikh yang diberitahu,” katanya pada sidang media di Parlimen, menurut Berita Harian.
Pada 23 Sept, JPPM menggantung semua kegiatan PN di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966. Tindakan itu susulan notis di bawah Subseksyen 13(2) akta tersebut bertarikh 22 Sept, yang memberi tempoh munasabah kepada PN untuk memberikan penjelasan berhubung aduan yang dilaporkan Bersatu.
Perakuan segera dan hak bertanding
Pada masa sama, Takiyuddin berkata PN memfailkan perakuan segera (certificate of urgency) supaya mahkamah mendengar kes itu berhubung kedudukan dan status gabungan berkenaan sebagai gabungan politik berdaftar.
“PN turut memohon penjelasan rasmi daripada JPPM sama ada gabungan ini mempunyai hak dan kelayakan mengemukakan calon serta bertanding dalam pilihan raya, khususnya PRN Melaka yang akan datang.
“PN juga minta supaya diperjelaskan secara rasmi berhubung apakah aduan yang dibuat oleh Bersatu kerana PN hanya mendengar dalam media saja, sedangkan Bersatu adalah sebahagian daripada PN,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.