
Perbelanjaan subsidi kerajaan tahun lalu turun 40.1% kepada RM23.43 bilion, berbanding RM39.10 bilion pada 2024. Penurunan itu berpunca daripada harga minyak mentah dunia yang lebih rendah dan pelaksanaan inisiatif penyasaran semula subsidi diesel serta petrol.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025, penurunan RM15.67 bilion itu antara lain disumbangkan pengurangan ketara perbelanjaan subsidi produk petroleum.
Subsidi petroleum susut RM15.79 bilion
Perbelanjaan subsidi produk petroleum berkurangan RM15.79 bilion kepada RM19.11 bilion, daripada RM34.91 bilion pada 2024.
“Pengurangan perbelanjaan subsidi antaranya disebabkan penurunan harga minyak mentah dunia dan inisiatif penyasaran semula subsidi diesel bermula Jun 2024 serta subsidi petrol pada September 2025.”
Laporan itu memaklumkan harga purata minyak mentah dunia turun kepada USD69.053 setong pada 2025, berbanding USD80.818 setong pada 2024.
Perbelanjaan subsidi petrol berkurangan 46.5% kepada RM10.51 bilion, daripada RM19.66 bilion. Subsidi diesel pula turun 48.2% kepada RM5.98 bilion, daripada RM11.54 bilion.
Subsidi gas petroleum cecair (LPG) berkurangan 29.1% kepada RM2.63 bilion, daripada RM3.71 bilion.
Bantuan kebajikan melonjak
Sementara itu, perbelanjaan bagi pemberian kebajikan dan bantuan kepada masyarakat, individu serta keluarga meningkat 380.8% kepada RM20.36 bilion tahun lalu. Angka itu berbanding RM4.24 bilion pada 2024.
“Peningkatan perbelanjaan ini antaranya disebabkan penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) dan Kos Operasi STR.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.