
Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, menyertai Bersama selepas meninggalkan PKR, berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengikut jejak bekas Ahli Parlimen dan pemimpin PKR lain, termasuk bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, dan bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Lee, yang juga bekas bendahari agung dan pengarah komunikasi PKR, menyerahkan borang permohonan keahlian Bersama hari ini sebelum diterima masuk ke parti itu.
Tanggungjawab dalam kempen PRN Melaka
“Penyertaan Lee memperkuatkan barisan kepimpinan Bersama tatkala parti giat berkembang. Beliau akan memikul tanggungjawab bersama mengemudi kempen PRN Melaka kali ini, dengan tumpuan membina jentera kempen di kawasan majoriti Cina.
“Lee akan menjadi salah seorang daripada pemimpin Bersama semasa proses interim sebelum pemilihan kepimpinan baharu parti yang dijangka diadakan tahun depan,” kata Rafizi, Nik Nazmi dan Syukri Razab dalam kenyataan.
Digantung PKR tiga tahun
Lee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya pada Jumaat lalu dan meninggalkan PKR berkuat kuasa hari ini. Tindakan itu menyusul keputusan PKR menggantung keahliannya selama tiga tahun.
Beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya pada PRU 2022 dan pernah menjadi Adun Semambu, Pahang, selama dua penggal.
Hubungan Lee dengan kepimpinan PKR dingin sejak beliau menghadiri majlis pelancaran Bersama pada Mei lalu. Beliau mempertahankan kehadirannya dalam acara anjuran parti itu dengan alasan hanya menyertai aktiviti yang diadakan di kawasan pilihan rayanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.