
Pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak tidak memberikan sebarang kekuatan kepada UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Sebaliknya, ia dilihat memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan sokongan pengundi terasnya.
Profesor Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Mohd Afandi Salleh berkata, bukan sahaja orang Melayu, tetapi semua rakyat Malaysia kini sedang menilai moral UMNO dan Pas, serta parti-parti dalam pakatan mereka, yang dilihat menyokong orang yang didapati bersalah dalam jenayah rasuah.
“Kelihatan jelas nilai UMNO yang masih tidak merasakan rasuah adalah jenayah, dari 1MDB sehingga ke isu Tabung Haji.
“Manakala Pas pula yang dulunya bercakap soal jenayah hudud, sekarang meninggalkan prinsip agama dan moral demi mendapat sokongan ahli UMNO.
“Ia memberi kesan besar kepada sokongan Melayu dan bukan Melayu, yang majoriti menolak rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.
PH dapat ‘bola tanggung’, kata Hassan
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pengampunan bersyarat terhadap Najib turut memberi ‘bola tanggung’ kepada PH dalam menghadapi PRU16.
Menurut Hassan, hanya sehari selepas pengampunan itu diberikan, sudah jelas kelihatan bahawa keputusan berkenaan telah memudaratkan UMNO dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Kutipan tabung cabar kewarasan ahli parti
Mengulas mengenai kutipan tabung yang dianjurkan UMNO demi membantu Najib, Mohd Afandi berkata, langkah itu seakan mencabar kewarasan dan nilai sebenar ahli UMNO. Malah, jika ada ahli Pas yang turut ‘menyumbang’ kepada orang yang telah terlibat dalam rasuah berbilion ringgit, ini kerana mereka melihat ada jasa beliau kepada negara.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ahmad Maslan sebelum ini berkata, kutipan tabung sumbangan bagi membantu melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib, bukan atas permintaan beliau sendiri, sebaliknya ia adalah hasrat ahli UMNO.
Jelasnya, usaha berkenaan merupakan susulan cadangan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, yang turut mendapat sokongan kepimpinan serta ahli parti.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.