
Polis akan memanggil bekas exco Negeri Sembilan mulai esok dan lusa untuk merekodkan keterangan, bagi membantu siasatan ekoran kemelut pentadbiran dan institusi diraja Negeri Sembilan susulan beberapa laporan polis yang dibuat berhubung isu berkenaan.
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail berkata, selain bekas exco, pihaknya turut akan mengambil keterangan daripada beberapa saksi dan individu lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.
“Memang banyak laporan polis telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu berhubung perkara itu. Kita akan menjalankan siasatan dan mengambil keterangan daripada mereka yang berkaitan, termasuk bekas exco dan mereka yang terlibat.
“Setakat ini polis telah memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan, termasuk seorang atau dua individu yang berkemungkinan menjadi saksi dalam kes berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Projek Whitening the Blackspot Kontinjen Polis Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, di sini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Noor Hisam Nordin serta Ketua Polis Pulau Pinang, Dennis Lim Kwang Keng.
Kertas siasatan bakal dihantar ke AGC
Mengulas lanjut, Khalid berkata pihaknya juga akan melengkapkan kertas siasatan sebelum ia dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.
Ditanya mengenai peruntukan undang-undang yang bakal digunakan dalam siasatan itu, beliau berkata polis masih meneliti secara menyeluruh kesemua laporan yang diterima setakat ini. Beliau turut tidak menolak kemungkinan terdapat kes yang melibatkan Akta Hasutan atau mana-mana peruntukan undang-undang lain.
“Polis menyiasat, tetapi yang membuat keputusan sama ada hendak mendakwa dan sebagainya ialah peguam negara. Mungkin dalam beberapa kes ada berkaitan dengan Akta Hasutan, mungkin ada pelanggaran lain, dan ini memerlukan penelitian daripada semua pihak, terutama sekali pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Keadaan di Negeri Sembilan terkawal, kata Khalid
Dalam pada itu, Khalid berkata situasi keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Sembilan ketika ini berada dalam keadaan baik dan terkawal. Masyarakat negeri itu, tambahnya, turut dilihat memahami perkembangan semasa serta memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa.
“Kita cuba mengekalkan suasana itu dengan sempurna demi keselamatan masyarakat dan juga rakyat di Negeri Sembilan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.