
Sebuah kumpulan masyarakat sivil menggesa Pakatan Harapan (PH), yang menerajui kerajaan persekutuan, supaya menggubal undang-undang bagi menjamin dana pembangunan kawasan yang sama rata untuk semua wakil rakyat.
Projek Sama berkata, kekalahan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya meyakinkan gabungan itu bahawa undang-undang peruntukan sama rata adalah demi kepentingan jangka panjangnya.
“Jika undang-undang seumpamanya tidak digubal dan PH akhirnya menjadi pembangkang selepas pilihan raya akan datang, Ahli Parlimen dan Adunnya akan berdepan kesukaran besar untuk berkhidmat di kawasan mereka di bawah kerajaan yang didominasi Umno-PAS,” katanya dalam satu kenyataan.
NGO itu menggesa kerajaan supaya membentangkan undang-undang peruntukan sama rata untuk Ahli Parlimen apabila Parlimen bersidang semula pada Oktober, dan agar semua kerajaan negeri melakukan perkara yang sama di DUN masing-masing.
Perak dan Kelantan dipuji, disaran maktubkan dalam undang-undang negeri
Kumpulan itu turut memuji kerajaan Perak dan Kelantan kerana telah pun memberikan peruntukan sama rata kepada semua Adun, walaupun perkara ini belum lagi diinstitusikan.
“Kami menggesa kedua-dua negeri untuk membawa kepimpinan demokratik mereka selangkah ke hadapan dengan memaktubkan peruntukan saksama ini dalam undang-undang negeri, sekali gus menetapkan duluan yang tidak boleh disangkal untuk dicontohi oleh seluruh Malaysia,” katanya.
Gesa Anwar pulihkan akses peruntukan Wong Chen dan Lee Chean Chung
Projek Sama juga menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya segera memulihkan akses peruntukan kawasan untuk Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Kedua-dua mereka adalah antara Ahli Parlimen PKR yang menghadiri majlis pelancaran parti baharu bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, iaitu Bersama.
Wong dan Lee dihalang daripada mengakses portal MyKhas, yang menguruskan peruntukan khas untuk kawasan pilihan raya, pada Mei lepas.
Projek Sama menolak hujah Anwar bahawa peruntukan kawasan boleh disalurkan “terus kepada rakyat” tanpa melibatkan Ahli Parlimen.
“Jika ini benar, mengapa PH secara jelas menuntut peruntukan sama rata untuk Ahli Parlimen dalam memorandum persefahaman 2021 dengan kerajaan Ismail Sabri Yaakob?” soalnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.