
Khairy Jamaluddin berkata Umno perlu mengakui kegagalannya dalam menguruskan Tabung Haji (TH) ketika parti itu berkuasa, susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan, operasi dan kewangan dana tersebut.
Beliau berkata, sudah tiba masa untuk Umno bersikap jujur tentang kegagalan tadbir urus dalam TH.
Alasan mempertahankan TH dikritik
Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, beberapa ahli parti mempertahankan Umno dengan menyatakan laporan RCI tidak membuktikan wujudnya penyelewengan dana oleh mana-mana pemimpin politik.
Menurutnya, ada pihak yang cuba mengalihkan tumpuan daripada isu kegagalan tadbir urus dengan menyatakan TH masih mampu mengagihkan hibah kepada pendeposit. Namun, katanya, alasan sedemikian adalah pertahanan yang lemah dan merupakan cubaan untuk menghalalkan amalan yang tidak baik.
“Kalau kita mengakui ada kelemahan dan kegagalan urus tadbir dan juga tatakelola dalam Tabung Haji, orang akan kata, ‘sekurang-kurangnya Umno ada sedikit bibit-bibit perubahan, untuk bawa Umno ke arah pemulihan sebab mereka akui kekurangan mereka’.
“Kita tidak boleh menggunakan alasan sedemikian untuk menyembunyikan perkara ini. Apa kelemahan dan kegagalan kerajaan, kita mesti akui,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap malam tadi.
Laporan RCI dedah jurang kewangan RM4.8 bilion
Laporan RCI setebal 252 muka surat berhubung siasatan ke atas pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 telah dinyahklasifikasikan dan dikeluarkan pada Rabu lalu, selepas suruhanjaya itu menyiapkannya pada Julai 2022.
Hasil siasatan RCI antara lain mendapati TH menyembunyikan keadaan sebenar kewangannya selama bertahun-tahun, dengan melaporkan keuntungan RM3.4 bilion bagi tahun 2017, sedangkan di bawah piawaian perakaunan yang betul, ia sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion, iaitu jurang hampir RM4.8 bilion.
Umno digesa jangan lepaskan peluang berubah
Hos bersama Khairy dalam audio siar itu, Shahril Hamdan berkata, laporan RCI yang dinyahklasifikasikan itu memberi peluang kepada Umno untuk menunjukkan kematangan, sikap rendah diri dan keinsafan terhadap segala kekurangannya.
Bekas ketua penerangan Umno itu berkata, parti berkenaan tidak boleh menganggap kemenangannya dalam dua pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini sebagai bukti bahawa ia tidak perlu mereformasi diri atau memohon maaf.
Beliau turut menegaskan bahawa Umno perlu sedar momentum yang dinikmatinya sekarang boleh berubah pada bila-bila masa.
“Bila ada peluang untuk buat benda elok, anda tak buat, dunia atau Tuhan ada cara untuk menghukum anda. Jadi, jangan lepaskan peluang yang ada,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.