
Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka menjadi pertandingan terbuka atau “free-for-all” apabila setiap parti politik dilihat akan membawa haluan dan strategi sendiri demi kelangsungan masing-masing.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata senario itu semakin jelas apabila UMNO dilihat tidak akan kekal sebagai “pemain kedua” kepada Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi pilihan raya itu nanti.
Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, UMNO tidak ditubuhkan untuk menjadi pelengkap kepada parti lain, sebaliknya mempunyai matlamat untuk kembali menguasai kerajaan.
UMNO bukan aksesori politik
“UMNO tidak wujud untuk jadi aksesori politik kepada orang lain. UMNO wujud untuk menguasai kerajaan.
“Selepas PRU15, UMNO kalah besar. Untuk survival, mereka masuk kerajaan bersama PH. Itu ialah susunan sementara untuk membentuk kerajaan dan menstabilkan negara.
“Tapi itu bukan perkahwinan politik sampai mati,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Strategi ‘rangkul semua’ ada kelemahan asas
Rafizi berpandangan, strategi politik yang cuba merangkul semua pihak mempunyai kelemahan asas kerana ia menganggap semua parti akan mengikut kehendak kerajaan Persekutuan, sedangkan setiap parti mempunyai kepentingan dan agenda survival tersendiri.
“Kalau UMNO mahu ikut arahan PH, baik masuk PKR saja.
“PH, BN, PN, parti-parti negeri dan parti baharu semua akan kira jalan masing-masing,” ujarnya.
Bersama dibina hadapi landskap politik baharu
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut menyatakan bahawa parti baharu yang disertainya, Parti Bersama Malaysia (Bersama), dibina khusus untuk menghadapi landskap politik sedemikian menjelang PRU16.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.