
Seorang pemimpin Umno meramalkan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) pimpinan Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) yang kini diterajui Ahmad Samsuri Mokhtar, berkemungkinan akan berhadapan antara satu sama lain pada PRU16.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi, percaya PAS akhirnya akan menyingkirkan Bersatu daripada PN, berikutan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua parti berkenaan.
“Ada kemungkinan PRU16 berlaku perlawanan antara IPR lawan PN. PAS akan sepak Bersatu daripada PN. Maka lebih baik Bersatu rela hati keluar daripada PN,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bersatu didakwa lupa diri, terlalu ingin dominan
Puad mendakwa punca hubungan Bersatu dengan PAS menjadi tegang ialah kerana Bersatu mahu mendominasi PN. Menurutnya, Bersatu percaya parti itu lebih layak memegang jawatan penting seperti perdana menteri, sementara Muhyiddin pula percaya beliau lebih sesuai memimpin PN berasaskan sokongan parti komponen bukan Melayu.
“Tetapi Bersatu lupa, parti itu banyak menumpang kekuatan PAS,” katanya.
Puad turut membandingkan asal-usul kedua-dua parti itu, dengan menegaskan bahawa Bersatu tidak lahir daripada akar umbi kerana sebahagian besar ahlinya berasal daripada Umno. PAS pula, katanya, lahir daripada ideologi, manakala Bersatu ditubuhkan dengan matlamat menggantikan Umno, namun gagal.
“Sebab itu Bersatu terus berpecah. Dalam masa singkat ia melahirkan tiga parti serpihan iaitu Pejuang, Muda, dan tidak lama lagi parti baru di bawah Hamzah Zainudin,” katanya, merujuk kepada bekas timbalan presiden Bersatu itu.
Penganalisis bimbang konflik boleh pecahkan PN
Dalam laporan terdahulu, para penganalisis turut menyatakan kebimbangan bahawa polemik antara PAS dan Bersatu mula mencetuskan keresahan dalam kalangan parti-parti kecil di bawah IPR.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri, berpandangan bahawa jika konflik PAS-Bersatu gagal diselesaikan, kemungkinan besar kedua-dua pihak sukar untuk duduk semeja. Ia juga boleh memberi tekanan kepada parti-parti lain untuk memilih pihak masing-masing.
Polemik ini tercetus susulan amaran Presiden PAS Hadi Awang kepada Bersatu bahawa kesabaran parti itu “ada batas”, berikutan beberapa tindakan yang didakwa melanggar semangat setiakawan dalam PN.
Konvensyen IPR dijadualkan Jun ini
IPR yang dianggotai 11 parti telah digerakkan pada Oktober tahun lalu. Gabungan itu dijangka mengadakan konvensyen pada 27 Jun ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.