
Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh menegaskan Pemuda DAP tidak wajar menuduh Umno melupakan jasa Pakatan Harapan (PH), sedangkan kestabilan kerajaan hari ini turut bergantung kepada sokongan Barisan Nasional (BN) selepas PRU15.
Beliau berkata, semua pihak sedar siapa yang membantu memastikan kestabilan politik selepas pilihanraya umum yang lalu.
“Jadi jangan sembang soal ‘kacang lupakan kulit’, kerana hakikatnya semua pihak tahu siapa yang membantu memastikan kestabilan politik selepas PRU lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Umno Johor kekal pendirian bertanding solo
Akmal mengulas kenyataan Pemuda DAP yang mengingatkan Umno supaya tidak melupakan jasa PH, susulan pendirian Umno Johor untuk bergerak solo dalam pilihanraya akan datang.
Menurut sayap DAP itu, kerjasama antara PH dan BN, khususnya prinsip mengelakkan pertembungan sesama sendiri, telah memberikan nafas baharu kepada Umno untuk kekal relevan dalam arena politik.
Isnin lalu, Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi mengekalkan pendirian untuk parti itu bertanding solo pada PRN Johor, di sebalik kritikan PH selaku rakan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.
Cabaran terbuka kepada DAP
Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau mencabar DAP menarik sokongan daripada kerajaan jika benar-benar mahu menguji kekuatan masing-masing melalui pembubaran Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Tarik sokongan di Perak. Tarik sokongan di Pahang. Kita lawan secara gentleman dan serah kembali mandat kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan Pemuda DAP tidak perlu risau dengan cadangan Umno Johor bergerak solo, kerana tiada sebarang perjanjian yang mewajibkan BN bertanding bersama PH dalam mana-mana pilihanraya.
Akmal menambah, cadangan supaya Umno bergerak solo bukan perkara baharu kerana Pemuda Umno sudah menyuarakan hasrat itu kepada kepimpinan parti sejak tahun lalu, dan kini langkah itu akan dimulakan di Johor.
“Pemimpin kami mendengar suara kami dan kita akan mulakan di Johor,” katanya.
Akmal sedia letak jawatan demi prinsip
Akmal turut mencabar pemimpin DAP keluar daripada kerajaan Melaka, sambil mendedahkan bahawa beliau sendiri pernah menghantar surat peletakan jawatan lebih daripada sekali.
“Sekurang-kurangnya saya berani hantar surat peletakan jawatan, bukan satu tapi dua surat telah dihantar. Kalau benar mahu menguji kekuatan, kita buka gelanggang. Bring it on,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.