
Pendirian Pas dilihat boleh berubah bila-bila masa mengikut kepada mafhum Presidennya, Abdul Hadi Awang.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi berkata, ini merupakan dilema yang dihadapi UMNO dan ia memberi risiko besar kepada parti tersebut menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti.
Bukan mudah kerjasama dengan Pas
Menurutnya, bukan mudah untuk menjalin kerjasama dengan Pas dalam keadaan sebegini.
“Abdul Hadi kata, kenyataan Ahmad Samsuri (Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi PN) Bersatu masih merupakan anggota PN berdasarkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan PN.
“Tetapi pada Abdul Hadi, Bersatu terkeluar daripada PN berdasarkan tindakan parti berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Ahad.
Mohd Puad turut berkata, daripada segi mafhumnya atau maksudnya, Bersatu sebenarnya melawan parti dia sendiri iaitu PN di Negeri Sembilan.
“Faham sendiri lah katanya. Maka apakah Pas ikut perlembagaan atau ikut mafhum?” soalnya dalam kenyataan itu.
Susulan pertikaian status Bersatu
Kenyataan yang dikeluarkan Mohd Puad itu adalah susulan tindakan Abdul Hadi mempersoalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding menentang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau memberi reaksi tersebut berikutan wujudnya perbezaan pandangan antara Abdul Hadi dan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri berhubung status keanggotaan Bersatu dalam gabungan itu.
Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa keanggotaan Bersatu dalam PN gugur secara automatik susulan pengumuman Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengenai hasrat untuk membentuk gabungan politik baharu.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, kedudukan Bersatu dalam PN masih belum berubah, walaupun timbul dakwaan keanggotaan parti itu terhenti disebabkan hasrat penubuhan gabungan baharu tersebut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.