
Keperluan mendesak rakyat terhadap bantuan dan perlindungan sosial menjadi sebab utama mengapa tiada tempoh “bulan madu” diberikan kepada anggota Kabinet yang baharu dilantik, kata Menteri Sumber Manusia, R Ramanan.
Beliau berkata penegasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya anggota Jemaah Menteri terus bekerja sebaik mengangkat sumpah adalah selari dengan realiti semasa yang menyaksikan ramai rakyat memerlukan bantuan segera.
“Sejak hari pertama saya masuk pejabat, saya terus menerima taklimat daripada Ketua Setiausaha bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian. Hari ini hari kedua, kita sudah berada di PERKESO,” katanya.
“Memang tidak ada masa untuk bulan madu kerana terlalu ramai rakyat yang memerlukan bantuan,” katanya lagi.
Ramanan berkata antara kelompok yang memerlukan perhatian segera ialah kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang setiap hari berulang-alik merentasi sempadan ke Singapura untuk bekerja, namun masih belum mempunyai perlindungan keselamatan sosial yang menyeluruh.
“Mereka ini perlu ada satu mekanisme perlindungan sekiranya berlaku kemalangan atau apa-apa kejadian tidak diingini. Isu ini tidak boleh ditangguhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Menara PERKESO hari ini.
Semalam, jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil berkata perdana menteri memberi peringatan tegas kepada menteri baharu atau yang bertukar portfolio supaya meneliti secara menyeluruh aspek pengurusan serta dasar kementerian masing-masing sebelum membuat sebarang keputusan.
Fahmi berkata walaupun Anwar tidak menetapkan tempoh khusus, namun jelas tiada tempoh bulan madu diberikan kepada anggota Jemaah Menteri.
Ramanan berkata dalam beberapa hari ini beliau akan mendalami operasi Kementerian Sumber Manusia dengan bantuan Ketua Setiausaha Azman Mohd Yusof serta kepimpinan agensi di bawah kementerian, termasuk PERKESO.
“Contohnya hari ini, saya diberikan taklimat untuk memahami secara lebih mendalam berkaitan dengan PERKESO,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.