
Representasi yang dikemukakan Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, bagi menggugurkan pertuduhan mendatangkan kegusaran awam ditolak oleh pengarah pendakwaan negeri Pulau Pinang.
Keputusan penolakan itu dimaklumkan pada prosiding sebutan kes di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.
Didakwa atas video Facebook
Pada 22 Ogos 2025, Akmal didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam berhubung satu video Facebook yang dimuat naik pada 11 Ogos tahun sama. Beliau mengaku tidak bersalah.
Video tersebut berkaitan kontroversi seorang pemilik kedai perkakasan yang kelihatan memegang Jalur Gemilang secara terbalik dalam satu video tular.
Pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Representasi kedua kepada peguam negara
Ketua barisan peguam Akmal, Aizat Azam, berkata pihaknya telah memohon kepada mahkamah untuk mengemukakan representasi kedua kepada peguam negara.
Menurutnya, representasi itu bertujuan menyampaikan fakta, pandangan serta pendapat dari sudut undang-undang berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata, permohonan representasi pertama dikemukakan kira-kira 10 bulan lalu.
“Kita telah membuat satu permohonan kepada mahkamah untuk mengemukakan representasi kedua kepada peguam negara bagi menyampaikan fakta, pandangan dan pendapat berdasarkan undang-undang tentang kes ini.
“Insyaallah, selepas ini kita akan mengemukakan representasi tersebut kepada pihak peguam negara,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Tarikh perbicaraan belum ditetapkan
Aizat berkata, kes itu sudah berlangsung lebih setahun, namun tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan kerana pihak pembelaan masih menunggu keputusan permohonan representasi.
Terdahulu, mahkamah menetapkan 4 Januari depan untuk keputusan representasi kedua yang dikemukakan pihak pembelaan.
Kes ini dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Muna Mohamed Jaafar, di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Muhamad Akmal diwakili 10 peguam, termasuk Aizat, Syahrul Syazwan Salehin, Hafiz Norkhan, Mohd Imran Tamrin, Syafiq Bahtiar, Zaki Shah, Fazreen Izuan dan Shakeel Saifuzzaman.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.