
Presiden Warisan, Shafie Apdal, menghormati keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara lima minggu terhadapnya atas kesalahan menghina mahkamah, dan telah mengarahkan peguamnya memfailkan rayuan.
Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, proses undang-undang harus dibiarkan berjalan mengikut lunasnya.
“Saya menghormati keputusan mahkamah dan telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan rayuan. Biarlah proses undang-undang berjalan mengikut lunasnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Bukan mengenai diri saya
Shafie berkata, keputusan itu tidak mengubah amanah dan tanggungjawabnya kepada rakyat sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, perkara berkenaan sejak awal bukan mengenai dirinya, sebaliknya berkaitan kematian seorang kanak-kanak yang menyentuh hati rakyat di seluruh negara.
Ahli Parlimen Semporna itu bagaimanapun berkata, beliau tidak akan mengulas lanjut kerana kes berkenaan kini dalam proses rayuan.
Beliau turut berikrar akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan penuh integriti dan menghormati kedaulatan undang-undang.
“Komitmen saya untuk berkhidmat kepada rakyat serta mempertahankan prinsip kebenaran, keadilan dan akauntabiliti tetap tidak berubah,” katanya.
Latar belakang kes
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Papar menjatuhkan hukuman penjara lima minggu terhadap Shafie selepas mendapatinya bersalah menghina mahkamah berhubung kenyataan berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Bagaimanapun, hakim Amir Shah Amir Hassan membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Shafie di Mahkamah Tinggi. Mahkamah turut memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadapnya melampaui keraguan munasabah.
Shafie, dalam satu acara di Kinabatangan pada September tahun lalu, menyentuh punca kematian Zara serta mempersoalkan cara pihak berkuasa mengendalikan kes berkenaan ketika inkues masih berlangsung.
Pada 23 Oktober tahun lalu, peguam negara memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Shafie.
Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 17 Julai tahun lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar. Inkues bagi menentukan punca dan keadaan sekitar kematiannya masih berlangsung.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.