
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan notis kepada bekas menteri sumber manusia, M Saravanan, isteri dan tiga orang anaknya untuk mengisytiharkan harta masing-masing.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, berkata notis itu akan diserahkan kepada timbalan presiden MIC tersebut bersama ahli keluarganya pada Isnin ini.
Beliau menjelaskan, notis dikeluarkan mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009, yang memberikan tempoh 30 hari kepada individu terbabit untuk membuat pengisytiharan harta.
“Pihak kami akan menyampaikan notis pengisytiharan harta kepada Saravanan, isteri dan tiga anak beliau.
“Mereka akan hadir di SPRM untuk menerima notis berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan ke-5 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Halim turut menambah, memandangkan seorang lagi anak Saravanan kini sedang belajar di London, SPRM akan memberikan masa yang mencukupi untuk beliau memenuhi keperluan pengisytiharan tersebut.
Latar belakang kes tuduhan rasuah Saravanan
Pada 28 Ogos lepas, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.
Beliau didakwa menerima wang daripada pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd, dalam kapasitinya sebagai menteri sumber manusia ketika itu.
Hakim, Azura Alwi, membenarkan jaminan RM450,000 dengan seorang penjamin, dan pasport Saravanan tidak disita. Namun begitu, dia diarahkan melapor diri kepada SPRM setiap tiga bulan serta dilarang mengganggu saksi sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga.
Mahkamah menetapkan 29 September untuk sebutan kes.
Keluarga Azeez Rahim masih dalam tempoh pengisytiharan
Sementara itu, Halim berkata bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Abdul Azeez Rahim, dan ahli keluarganya, termasuk anak-anak, masih belum mengisytiharkan harta kerana tempoh 30 hari yang diberikan belum berakhir.
Menurutnya, SPRM akan menunggu pengisytiharan itu dibuat selepas Azeez dan ahli keluarganya menerima notis pada 15 September lepas.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.