
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjanji sejumlah RM650,959.21 yang dikutip menerusi Larian Kesyukuran Muar akan disalurkan sepenuhnya kepada penerima yang layak, tanpa mengambil sesen pun untuk tujuan pentadbiran.
Ahli Parlimen Muar itu berkata sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menggunakan sebahagian daripada kutipan untuk kos pentadbiran, tetapi beliau tidak akan berbuat demikian dan berikrar akan membentangkan laporan lengkap berserta resit perbelanjaan bagi fasa pertama penyaluran bantuan berkenaan.
Setiap sen akan disalurkan kepada rakyat Muar
“Kita mahu pastikan setiap sen yang dikutip disalurkan semula kepada warga Muar. Saya sudah arahkan pasukan saya jangan sesekali ambil walaupun satu sen daripada kutipan ini.
“Gaji kakitangan akan saya bayar menggunakan duit sendiri atau saya cari jalan lain, tetapi duit ini mesti dipulangkan 100% kepada rakyat,” katanya menurut Sinar Harian, selepas menyampaikan sumbangan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar di Johor.
Beliau berkata pihaknya turut bercadang mengumumkan beberapa bentuk bantuan tambahan, termasuk skim berkaitan pendidikan menerusi Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), bagi membantu anak muda melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Sokongan rakyat tambah semangat sepanjang larian 170km
Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada warga Muar dan rakyat Malaysia yang memberikan sokongan sepanjang Larian Kesyukuran sejauh hampir 170km selama empat hari.
“Ketika berada kira-kira 10km dari lokasi penamat, saya menerima sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat walaupun cuaca panas. Saya agak terkejut melihat lautan manusia di kiri dan kanan jalan apabila tiba di Laman Maharani sehingga saya sendiri sukar bergerak.
“Ada ketika otot hampir kejang dan rasa seperti mahu pengsan, tetapi sokongan yang diberikan sedikit sebanyak menambah tenaga untuk saya menghabiskan larian selama empat hari itu,” katanya.
Misi larian yang bermula dari pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya itu bertujuan mengumpul dana kebajikan bagi penduduk Parlimen Muar, merangkumi sumbangan bakul makanan serta peranti tablet bagi pelajar yang memerlukan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.