
Ketua penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa sikap ‘kuku besi’ dan usaha PAS menguasai Perikatan Nasional (PN) sepenuhnya semakin terserlah, susulan pengguguran Radzi Jidin dan Azmin Ali daripada jawatan utama dalam gabungan itu.
Tun Faisal berkata langkah yang diumumkan Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan sebahagian daripada ‘permainan politik kotor’ PAS yang bertujuan melemahkan kedudukan Bersatu dalam struktur kepimpinan gabungan.
“Bukan lagi rahsia bahawa terdapat pihak dalam PAS yang berhasrat untuk menguasai PN sepenuhnya dan menyingkirkan Bersatu daripada gabungan tersebut. Hasrat ini telah beberapa kali dibayangkan oleh pemimpin tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Dakwaan usaha sistematik lemahkan Bersatu
Tun Faisal turut mendakwa pelbagai tindakan dilakukan secara sistematik untuk menekan kedudukan Bersatu, termasuk usaha menyulitkan pengeluaran watikah calon, memanfaatkan dominasi dalam Majlis Tertinggi (MT) untuk menekan Bersatu, serta mengetepikan peranan majlis presiden dalam proses membuat keputusan.
Beliau berkata semua ini tergambar melalui kenyataan beberapa anggota Lajnah Undang-undang PAS serta jentera parti berkenaan.
Dalam kenyataan selepas mesyuarat Ahli Parlimen pembangkang di ibu pejabat PAS, Samsuri mengumumkan khidmat Radzi sebagai ketua pengarah pilihan raya PN dan Azmin sebagai timbalan setiausaha agung ditamatkan serta-merta, sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula pentadbiran PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Keseimbangan undi dalam MT PN terganggu
Tun Faisal turut membangkitkan kesan pengguguran itu terhadap struktur pengundian dalam MT PN. Menurutnya, sebelum ini PAS dan Bersatu masing-masing mempunyai enam wakil dalam MT PN, namun susunan baharu memberi kelebihan kepada PAS untuk memperoleh sokongan majoriti dengan bantuan Gerakan.
Beliau juga mempersoalkan keperluan mengadakan mesyuarat tergempar MT PN bagi tujuan memperkukuh organisasi gabungan, sedangkan menurutnya kepimpinan PN sebelum ini tidak menunjukkan kesungguhan dalam menangani konflik dalaman mahupun menggerakkan persiapan pilihan raya.
“Kasar permainan politik PAS ini. Hari demi hari, sedikit demi sedikit, Allah tunjukkan sikap autoritarian dan politik kotor PAS. Kalau bukan pendekatan ke’Mullah’an dan ke’Talibanan’, mungkin pegangan Machiavellian, yang mana matlamat menghalalkan cara,” dakwanya.
Walaupun begitu, Tun Faisal menegaskan Bersatu kekal komited mempertahankan gabungan itu.
“Tapi, saya pun harap rakan-rakan dalam PAS juga boleh bantu hentikan kerakusan dan kegilaan ‘Kluster Publika’ ini dari dalam,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.