
Umno Johor menggesa semua pihak berhenti mengaut kredit politik atas projek yang dilaksanakan oleh kerajaan, sambil menegaskan perlunya semua pihak menghormati kedudukan kerajaan negeri sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan pembangunan yang melibatkan Pusat.
Ketua Penerangan Umno Johor, Md Israk Abdullah, berkata isu yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi sebelum ini bukanlah mengenai kehadiran ke majlis rasmi semata-mata, sebaliknya menyentuh aspek penyelarasan, profesionalisme, dan penghormatan terhadap institusi kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah menolak kerjasama dengan Pusat, malah sentiasa menunjukkan komitmen dalam pelbagai program dan projek demi kepentingan rakyat.
Jemputan lewat persoalkan kesungguhan kerjasama
“Rekod jelas menunjukkan kerajaan negeri sentiasa hadir, membantu, dan menyokong pelaksanaan projek strategik, termasuk yang berada di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan. Justeru, tidak wajar menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri enggan bekerjasama atau tidak memberikan sokongan terhadap usaha kerajaan Persekutuan,” kata Md Israk melalui kenyataan hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada laporan bahawa Onn Hafiz berkata beliau dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang bertanggungjawab tidak pernah menerima sebarang jemputan rasmi bagi beberapa program Kementerian Pengangkutan yang diadakan di negeri ini.
Md Israk berkata, pemberian jemputan rasmi pada saat akhir bagi program berimpak tinggi yang melibatkan negeri menimbulkan persoalan serius mengenai tahap penyelarasan antara kedua-dua pihak, dan perkara itu tidak seharusnya berlaku jika semangat kerjasama yang tulen benar-benar diamalkan.
Beliau turut menegaskan bahawa projek utama seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Link, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), serta KTM Komuter Selatan mempunyai kepentingan yang amat besar kepada rakyat Johor, dan kerajaan negeri tidak boleh dianggap sebagai pihak sampingan dalam mana-mana projek tersebut.
Projek kerajaan bukan hak eksklusif mana-mana parti
Dalam masa yang sama, Md Israk mengingatkan bahawa program kerajaan tidak sepatutnya dijadikan platform oleh mana-mana parti politik untuk meraih publisiti atau menonjolkan diri.
“KTM bukan milik mana-mana parti politik. Projek kerajaan bukan hak eksklusif mana-mana parti. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada keberhasilan projek dan manfaat kepada rakyat, bukannya perlumbaan mendapatkan publisiti politik,” katanya.
Beliau turut menyebut bahawa rakyat Johor kini semakin matang dalam menilai kepimpinan, dan mampu membezakan antara pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat dengan mereka yang lebih gemar berpolitik menggunakan pentas projek kerajaan.
Md Israk menegaskan Umno Johor akan terus mempertahankan prinsip bahawa hubungan antara Pusat dan negeri perlu diasaskan atas semangat saling menghormati, profesionalisme, dan keikhlasan demi kepentingan rakyat Johor.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.