
Kesediaan Umno Negeri Sembilan untuk menjadi pembangkang dilihat sebagai satu pertaruhan besar menjelang pilihan raya akan datang, dengan penganalisis memberi amaran langkah itu boleh mengundang risiko terhadap sokongan rakyat.
Penganalisis politik, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, walaupun Umno cuba menggambarkan pendirian tersebut sebagai usaha mempertahankan adat dan institusi diraja, pengundi juga boleh menafsirkannya sebagai tekanan terhadap Pakatan Harapan.
Risiko terhadap sokongan pengundi
Menurut beliau, keadaan itu boleh menjadi “pedang bermata dua” kerana Barisan Nasional berisiko dihukum lebih teruk sekiranya rakyat melihat parti itu memperalatkan isu institusi diraja demi kepentingan politik, khususnya berkaitan jawatan menteri besar.
“Jika keadaan ini berlaku, Umno/BN berisiko dilihat sebagai parti yang menggali kuburnya sendiri manakala PH boleh membingkai naratif Umno mengkhianati mandat rakyat serta memperalatkan institusi diraja.
“Perikatan Nasional berpeluang masuk sebagai alternatif ‘lebih bersih’ jika perpecahan PH-BN berlarutan,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias berkata parti itu lebih rela menjadi pembangkang daripada terus berada dalam kerajaan dan melihat kesilapan Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Kenyataan tersebut dibuat selepas Biro Politik Umno memutuskan parti itu kekal menyokong kerajaan perpaduan Negeri Sembilan walaupun menghormati pendirian 14 Adun BN yang hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
Isu institusi adat jadi perhatian
Empat belas Adun BN itu mendakwa tindakan mereka berpunca daripada kegagalan Aminuddin menguruskan krisis institusi adat dan perlembagaan negeri yang kini mendapat perhatian umum.
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata krisis pentadbiran di Negeri Sembilan akan dibincangkan menerusi Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dijadual berlangsung minggu ini.
Pada PRN 2023, BN memenangi 14 kerusi manakala PH memperoleh 17 kerusi sebelum kedua-duanya bergabung membentuk kerajaan negeri dengan majoriti kukuh.
Kedudukan BN dan PH hampir seimbang
Penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali turut melihat langkah Umno Negeri Sembilan sebagai berisiko kerana kemenangan 14 kerusi BN sebelum ini dicapai menerusi kerjasama dengan PH.
Katanya, sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU16, Umno belum tentu mampu mengekalkan kedudukan semasa.
“Saya percaya Umno tidak boleh menang di Negeri Sembilan jika berlaku tiga penjuru,” katanya sambil berpandangan Umno kini berdepan persepsi mahu mengambil alih kuasa.
Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat pendirian Umno Negeri Sembilan tidak semestinya bercanggah dengan keputusan Umno pusat yang mahu meneruskan kerjasama dengan PH sehingga PRU16.
Menurutnya, isu di Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri kerana melibatkan adat negeri dan Umno Negeri Sembilan mungkin mahu menunjukkan prinsip bahawa menteri besar perlu berkecuali dalam pertikaian berkaitan institusi adat.
Azmi berkata, berbanding Johor dan Melaka yang menyaksikan dominasi Umno lebih kuat, kedudukan BN dan PH di Negeri Sembilan dilihat hampir seimbang.
“Dalam hal ini, sama ada Umno menerima kesan negatif bergantung kepada pengundi Negeri Sembilan.
“Apa yang dinyatakan Jalaluddin adalah pegangan dan prinsip menyokong perlembagaan adat di Negeri Sembilan, sama ada dibaca positif atau negatif, bergantung kepada pengundi,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.