
Pengundi muda diingatkan supaya meningkatkan literasi politik agar setiap undi yang diberikan berlandaskan ilmu dan kefahaman, bukan dipengaruhi sentimen atau kandungan tular di media sosial.
Ketua Pemuda PKR Kamil Munim berkata, hak mengundi yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah satu amanah besar yang perlu digunakan secara bijak, kerana setiap keputusan yang dibuat akan menentukan hala tuju negara.
Beliau yang juga setiausaha politik kepada menteri kewangan itu menegaskan perkara tersebut amat penting, terutama bagi generasi muda yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama dalam pilihan raya akan datang.
“Peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana setiap undian yang kita berikan akan menentukan hala tuju ke hadapan. Kalau kita tidak tahu apa yang kita undi atau pilih, maknanya kita tidak mempunyai literasi politik,” katanya semasa program POV Anak Muda: Anak Muda dan Ketidakpastian Realiti Siri 2 Zon Utara di sini.
Jangan nilai kebenaran maklumat berdasarkan jumlah tanda suka
Kamil turut mengingatkan agar generasi muda tidak menilai kebenaran sesuatu maklumat semata-mata berdasarkan jumlah tanda suka, perkongsian, atau populariti sesuatu kandungan di media sosial.
Sebaliknya, golongan itu perlu membudayakan sikap meneliti maklumat, memahami dasar yang ditawarkan, serta menilai rekod dan keupayaan pihak yang bertanding sebelum membuat keputusan dalam pilihan raya.
Program himpunkan 950 peserta bincang isu semasa anak muda
Program sehari itu menghimpunkan kira-kira 950 peserta dan menjadi platform dialog antara anak muda, penggubal dasar, serta penganalisis dalam membincangkan pelbagai isu termasuk kos sara hidup, pekerjaan, ekonomi, akses maklumat, dan cabaran landskap digital.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.