
Kobbie Mainoo muncul wira Manchester United apabila menjaringkan gol kemenangan dramatik untuk membantu pasukannya menewaskan musuh tradisi, Liverpool 3-2 di Old Trafford.
Jaringan pemain muda itu pada minit ke-77 menerusi rembatan dari luar kotak penalti memastikan tiga mata penting buat United sekali gus mengesahkan kepulangan kelab itu ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas dua tahun tersisih.
Kemenangan tersebut melonjakkan United yang berada di tangga ketiga kepada 64 mata dengan baki tiga perlawanan musim ini.
United bermula garang sebelum Liverpool bangkit
United memulakan perlawanan dengan aksi agresif apabila mendahului 2-0 dalam tempoh 14 minit pertama.
Matheus Cunha membuka jaringan pada minit keenam sebelum Benjamin Sesko menggandakan kelebihan lapan minit kemudian.
Namun, Liverpool bangkit pada babak kedua selepas kesilapan pemain United membuka ruang kepada Dominik Szoboszlai untuk merapatkan jurang pada minit ke-47.
Cody Gakpo kemudian menyamakan kedudukan sembilan minit selepas itu untuk menghidupkan semula peluang pelawat.
Ketika aksi dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Mainoo muncul penyelamat United menerusi jaringan kemenangan yang turut membawa semula kelab itu ke pentas Liga Juara-Juara.
Carrick semakin selesa galas tanggungjawab
Michael Carrick berkata beliau semakin selesa mengendalikan Manchester United selepas berjaya membawa pasukan itu kembali ke kelompok lima teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).
Carrick dilantik sebagai pengurus sementara pada Januari lalu selepas Ruben Amorim dipecat dengan sasaran utama mengembalikan United ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh tiga musim.
“Saya suka apa yang saya lakukan sekarang dan ia posisi yang sangat baik untuk saya.
“Sejujurnya ia terasa cukup semula jadi. Bukan bermaksud saya ambil mudah kerana tugas ini memang sukar, tetapi saya sudah lama berada di sini.
“Saya faham apa yang diperlukan dan berada di posisi ini sesuatu yang bagus,” katanya.
Menurut Carrick, kejayaan layak ke Liga Juara-Juara bukan penamat kepada cita-cita kelab yang masih memburu gelaran EPL pertama dalam tempoh 13 tahun.
Liverpool kecewa, Tottenham keluar zon penyingkiran
Kekalahan ke-11 Liverpool musim ini menyukarkan usaha pasukan kendalian Arne Slot untuk memburu tiket Liga Juara-Juara.
Slot mengakui kecewa apabila pemainnya gagal mengekalkan fokus sehingga United berjaya menjaringkan gol kemenangan.
“Seperti biasa, hanya satu detik hilang fokus terus menyebabkan kami dihukum.
“Banyak kali musim ini kami berjaya bangkit, tetapi kemudian kami pula leka beberapa saat dalam situasi penting,” katanya.
Sementara itu, Tottenham Hotspur berjaya keluar daripada zon penyingkiran EPL selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa.
Kekalahan West Ham United kepada Brentford sebelum ini membuka peluang buat Tottenham untuk memperbaiki kedudukan dan kemenangan kedua berturut-turut melonjakkan kelab London utara itu satu mata di atas West Ham yang berada di tangga ketiga tercorot.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.