
Ketika polis Vietnam menyerbu dua buah gudang tidak mencolok di pinggir Bandar Ho Chi Minh awal tahun ini, mereka menemui lebih 23,000 pasang selipar berlogo Nike, Adidas, Crocs dan Gucci.
Namun jenama-jenama tersebut tidak pernah terlibat dengan gudang berkenaan kerana semua selipar itu adalah tiruan.
Serbuan itu yang membawa kepada rampasan barangan bernilai VND2 bilion atau kira-kira RM340,000, merupakan sebahagian daripada tindakan keras terhadap industri pasaran gelap yang telah lama berkembang secara terang-terangan selama beberapa dekad.
Hanya 30 kilometer dari situ, di sebuah pasar lambak di kawasan tumpuan pelancong Bandar Ho Chi Minh, model selipar tiruan yang sama, iaitu tiruan bagi produk yang dijual sehingga USD900 di luar negara, dijual serendah USD30 sepasang.
Dipamerkan bersama selipar tersebut ialah pelbagai barangan tiruan lain seperti beg tangan Chanel, baju-T Prada dan jam tangan Rolex yang memenuhi rak jualan.
Dikenali sebagai hab global bagi barangan tiruan jenama mewah yang murah, Vietnam merupakan lokasi bagi antara pasaran barangan tiruan jenama terbesar di dunia.
Tindakan keras seluruh negara
Kini, di bawah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat, pihak berkuasa Vietnam sedang berusaha membersihkan reputasi tersebut.
Pada 7 Mei, kerajaan Vietnam melancarkan tindakan keras di seluruh negara terhadap produk dan amalan yang melanggar hak harta intelek, termasuk barangan tiruan, cetak rompak dalam talian dan pelanggaran tanda dagangan.
Perkara ini bukanlah baharu kerana pihak berkuasa Vietnam kerap melancarkan serbuan terhadap peniaga barangan tiruan secara terbuka bagi menunjukkan tindakan sedang diambil terhadap ekonomi bayang yang berleluasa di negara itu.
Namun sejak beberapa minggu kebelakangan ini, tindakan keras tersebut semakin ditingkatkan.
“Penguatkuasaan semakin ketat,” kata Thanh Truc, seorang peniaga pakaian di sebuah pasar jalanan popular di Saigon Square, Bandar Ho Chi Minh, yang bercakap dengan syarat namanya disamarkan.
Beliau baru sahaja menjual replika baju-T jenama Loewe yang biasanya dijual pada harga USD500, dengan harga USD17 sahaja.
“Setiap sekali sekala, pihak berkuasa akan melancarkan serbuan anti-tiruan, tetapi kebiasaannya mereka menumpukan kepada barangan bernilai tinggi seperti beg tangan mewah atau beg pakaian,” jelasnya.
“Pemeriksa pasaran akan datang bersama krew kamera, mereka akan merampas barangan daripada sesetengah kedai, kemudian keadaan akan kembali seperti biasa.”
Namun kali ini keadaannya berbeza.
Tekanan daripada perang tarif Trump
Tindakan keras ini didorong oleh faktor antarabangsa, terutamanya perang tarif yang dilancarkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, terhadap negara-negara yang dianggap merugikan kepentingan negara itu.
Pada bulan April, satu laporan daripada Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat mengenal pasti Vietnam sebagai sebuah negara asing keutamaan disebabkan kegagalan berterusan menyelesaikan isu perlindungan dan penguatkuasaan hak harta intelek, kali pertama dalam 13 tahun sesebuah negara menerima gelaran tersebut.
Laporan itu turut menggelar Vietnam sebagai peniru harta intelek paling teruk di dunia.
Berdepan ancaman tarif baharu, pihak berkuasa Vietnam berjanji meningkatkan bilangan serbuan pelanggaran harta intelek sekurang-kurangnya 20 peratus pada bulan Mei berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Antara medan tindakan utama ialah Saigon Square, tempat Thanh Truc berniaga, serta Pasar Ben Thanh yang berdekatan, iaitu dua kawasan yang dikenali sebagai antara hab terbesar barangan tiruan di Vietnam.
Pertengahan Mei lalu, selepas beberapa siri pemeriksaan mengejut, pihak berkuasa merampas barangan tiruan daripada pasar-pasar tersebut dan mengeluarkan denda berjumlah lebih USD19,000.
Namun peniaga tempatan yang sudah lama terbiasa dengan perhatian polis yang tidak diingini, kelihatan tidak gentar.
“Biasanya, sebelum pemeriksa tiba, seseorang di sini akan meniup wisel untuk memberi amaran kepada semua orang,” jelas Thanh Truc.
Beliau menambah, selepas siri serbuan baru-baru ini, perniagaan masih diteruskan seperti biasa, cuma sesetengah kedai memaparkan lebih sedikit barangan berlogo, walaupun stok masih disimpan di bahagian belakang.
Rantaian bekalan dari China
Rantaian bekalan bagi kebanyakan barangan tiruan Vietnam boleh dikesan kembali merentasi sempadan utara negara itu ke China, tempat barangan tersebut dihasilkan.
Peniaga borong Vietnam akan memilih, membeli dan mengimport produk secara pukal yang dijangka mudah dijual di pasaran tempatan, sebelum mengedarkannya kepada perniagaan lebih kecil.
Kedudukan geografi yang berdekatan dengan China turut menguntungkan industri barangan tiruan Vietnam yang semakin berkembang, ditambah lagi hakikat bahawa jenama-jenama mewah Eropah turut sering bergantung kepada pembuatan di Asia.
Sama ada kulit yang dipotong terlebih dahulu di China atau jahitan yang dilakukan di Vietnam, bahan dan kepakaran ini turut disalurkan ke pasaran gelap serantau.
Ia merupakan sesuatu yang sukar dihentikan sepenuhnya, namun kerajaan Vietnam menganggap operasi serbuan terbaharu mereka sebagai satu kejayaan. Dalam tiga minggu terakhir bulan Mei, pihak berkuasa dilaporkan mengendalikan lebih 1,400 kes pelanggaran harta intelek.
Amerika Syarikat pula terus meningkatkan tekanan. Hujung Mei lalu, mereka melancarkan siasatan untuk menentukan sama ada kegagalan Vietnam membanteras pelanggaran harta intelek adalah tidak munasabah dan menjejaskan urus niaga Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa Vietnam turut memperketatkan tindakan mereka sendiri.
Pada 10 Jun, polis di wilayah Thanh Hoa membongkar sindiket yang menghasilkan dan menjual lebih 10,000 barangan kemas tiruan meniru jenama seperti Bvlgari, Cartier, Louis Vuitton dan Tiffany & Co, yang dianggarkan menjana keuntungan haram sebanyak USD1.14 juta.
Gerai pasar di Bandar Ho Chi Minh dan Hanoi turut ditutup, manakala polis menyerbu gudang, kedai pakaian dan kedai kasut.
Pandangan berbeza penduduk tempatan
Penduduk tempatan berpecah pandangan mengenai tindakan keras ini. Walaupun ia dilihat memaksa sesetengah peniaga menutup perniagaan, ada pihak lain yang mengharapkan peluang baharu.
Thi Nguyen, yang mereka bentuk, menghasilkan dan menjual pakaian ciptaannya sendiri di beberapa kedai di Bandar Ho Chi Minh dan Da Lat, berpandangan industri barangan tiruan bukan sahaja melanggar hak harta intelek pereka seperti dirinya, malah turut menjadikan pasaran runcit Vietnam huru-hara dan seperti bahan jenaka.
Beliau berkata pelanggan sanggup membelanjakan USD75 untuk sehelai gaun jenama tiruan yang kelihatan tulen, tetapi mengeluh apabila dikenakan bayaran separuh daripada jumlah itu untuk hasil ciptaan sendiri, walaupun dibuat menggunakan fabrik berkualiti dan jahitan yang baik.
Menurutnya, Vietnam tidak kekurangan tukang jahit dan pengukir manik yang mahir, tetapi ramai antara mereka diabaikan dan tidak menerima pendapatan yang sepatutnya, sehingga sebahagian besar akhirnya bekerja di kilang yang menghasilkan barangan tiruan.
Kini apabila peniaga barangan tiruan terpaksa menutup perniagaan, beliau bersedia melabur lebih banyak dalam perniagaannya sendiri dan menaikkan harga produk.
Beliau turut menyatakan rasa lebih yakin beroperasi dalam persekitaran perniagaan yang lebih bersih, telus dan adil, dan menegaskan isu ini bukan tentang siapa menang atau kalah, sebaliknya tentang mengembalikan keadilan serta meletakkan yang tulen dan tiruan pada tempat yang sepatutnya.
Namun tidak semua pihak berpuas hati.
Huy, seorang pekerja pejabat di Da Nang, merupakan pembeli tegar pakaian tiruan, terutamanya jersi bola sepak dan kasut.
Beliau berkata menangkap peniaga tidak menyelesaikan masalah, dan selagi barangan tiruan tidak dapat dibasmi sepenuhnya serta masih mudah didapati, beliau akan terus mengekalkan tabiat lamanya kerana barangan tersebut murah, mudah dan senang dibeli.
Pelanggan seperti Huy mewakili sebahagian besar pasaran di Vietnam, di mana 60 peratus penduduknya tinggal di kawasan luar bandar dengan purata pendapatan hanya USD225 sebulan.
Justeru, tindakan keras kerajaan terhadap barangan tiruan yang murah berisiko menyekat ramai pelanggan tempatan daripada mengakses pasaran tersebut.
Thi Thanh Huong Tran, seorang profesor bersekutu di SKEMA Business School yang membesar di Vietnam dan mengkaji pengguna beretika, menegaskan kekuatan pasaran barangan tiruan negara itu disokong oleh realiti ekonomi.
Menurutnya, walaupun rakyat Vietnam sedar barangan tersebut tiruan, dalam keadaan mereka tidak mampu membeli barangan asli, ia menjadi pilihan paling sesuai bagi mereka dan turut memberi kepuasan kepada pengguna berkenaan.
Beliau turut berpendapat kerugian hasil bagi jenama mewah antarabangsa adalah tidak ketara kerana tiada pertindihan antara pengguna barangan mewah dan pembeli barangan tiruan, memandangkan pelanggan berpendapatan rendah tetap tidak akan membeli produk jenama asli walaupun tanpa kewujudan barangan tiruan, kerana mereka tidak mampu membelinya.
Bagi mereka, tiada sebab untuk membayar harga tinggi hanya untuk sebuah beg.
Thanh Truc turut berkata kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pelancong asing, dan sebahagian besar hab barangan tiruan yang terkenal turut terletak di kawasan tumpuan pelancong.
Thi Thanh Huong Tran dan beberapa pihak lain turut berpendapat pihak berkuasa mempunyai peluang tipis untuk membasmi pasaran barangan tiruan Vietnam sepenuhnya.
Pengeluar dan peniaga sudah pun mencari jalan untuk mengelak undang-undang harta intelek, termasuk menukar reka bentuk produk atau nama jenama, contohnya daripada Nike kepada Mike.
Menurutnya, kuncinya adalah dengan menghampiri garis had tanpa melangkauinya iaitu mengubah reka bentuk secukupnya untuk mengelak liabiliti undang-undang, sambil masih mengekalkan estetika, kualiti dan persamaan jenama asal yang menarik minat pengguna.
Inovasi seperti ini telah lama melindungi peniaga daripada tindakan pihak berkuasa. Walaupun tindakan keras kerajaan menjadikannya lebih sukar, mereka yang menyara hidup melalui industri ini akan terus mencari cara baharu untuk memastikan ia kekal bertahan.
Beliau menegaskan, tidak kira apa peraturan atau tindakan yang diambil kerajaan, peniaga akan tetap mencari jalan untuk mengelak dan terus beroperasi, kerana permintaan pengguna sentiasa wujud, dan selagi ada permintaan, sudah tentu akan ada penjual.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.