
Kempen bekas pemimpin Umno, Puad Zarkashi, menyokong calon Pakatan Harapan (PH) dilihat berpotensi mengganggu sedikit fokus jentera parti berkenaan, namun ia tidak boleh dianggap sebagai “bonus” strategik buat lawannya, kata penganalisis.
Boleh tekan jentera BN
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata kempen bekas orang kuat Umno itu boleh memberi tekanan kepada jentera Barisan Nasional (BN), khususnya jika ia menarik perhatian akar umbi di kawasan berkenaan.
“Mungkin ada sebahagian kecil ahli Umno di peringkat akar umbi yang menyokong beliau akan beralih arah kepada PH, dan pendedahan baharu daripadanya mungkin mengganggu fokus jentera kempen Umno ketika ini,” katanya kepada FMT.
“Namun, ia tidak akan melarat sehingga menjejaskan peluang Umno secara keseluruhan.”
Sejak mengisytiharkan keluar Umno pada 25 Jun lalu, Puad menyerang bekas partinya itu antaranya dengan mendakwa ia tidak mempunyai autonomi untuk membuat keputusan.
Beliau turut mempersoalkan pemilihan calon BN pada PRN Johor 11 Julai depan, termasuk keputusan untuk mencalonkan bekas Adun Bersatu, Alwiyah Talib, di kerusi DUN Endau.
Bekas Adun Rengit itu turut menyokong calon PH bagi kerusi berkenaan, Mohamad Yazid Bakri. BN pula mencalonkan Mohd Zaidi Japar untuk mempertahankan kerusi itu.
Puad turut hadir ke kempen PH yang dihadiri Pengerusinya, Anwar Ibrahim, Sabtu lalu.
Kesan di peti undi dijangka minimum
Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata sokongan terbuka Puad kepada calon PH di Rengit tidak boleh dianggap sebagai bonus strategik untuk gabungan itu menembusi kawasan kubu Umno.
Penganalisis dari Global Asia Consulting itu menjangkakan kesan di peti undi hampir sifar kerana pengundi hari ini tidak lagi bergantung kepada arahan atau isyarat tokoh politik tertentu sebelum membuat keputusan.
“Pengundi telah matang, undi adalah hak bebas yang tidak boleh dipandu oleh sekadar restu politik. Kita kini berada dalam zaman penilaian calon secara langsung,” katanya.
“Langkah ini tidak akan melarat menjadi gelombang besar.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.