
Seorang wanita didakwa telah menetap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak kira-kira setahun lalu, susulan penularan rakaman video di media sosial.
Dalam rakaman tersebut, wanita terbabit dilihat memarahi beberapa kanak-kanak yang didakwa bermain dan membuat bising di kawasan terminal, sebelum ditenangkan oleh beberapa individu.
Difahamkan, wanita berkenaan menjadikan kawasan terminal sebagai tempat tinggal termasuk untuk tidur dan mandi, serta bergantung sepenuhnya kepada kemudahan awam yang disediakan di KLIA seperti bekalan air dan WiFi.
Rakaman itu turut memaparkan beberapa barangan peribadi dipercayai milik wanita tersebut berada di kawasan awam, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Sebahagian warganet menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kerana lapangan terbang bukan tempat kediaman, sebaliknya hanya kemudahan transit penumpang. Ada juga yang bimbang keadaan itu boleh menjejaskan imej KLIA dan negara.
Sementara itu, pihak pengurusan KLIA memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah mengambil maklum perkara tersebut dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menjalankan siasatan.
“Kami memohon kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang berjalan,” menurut kenyataan KLIA di ruangan komen Facebook.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.