
Wawasan menegaskan hasrat mempertahankan DUN Sungai Udang dan Bemban pada PRN Melaka, sebagaimana Umno mahu mengekalkan 21 kerusi yang disandang. Demikian kata Presiden Wawasan, Hamzah Zainudin.
Hamzah berkata, menjadi hak Wawasan untuk bertanding di dua kerusi itu berdasarkan konsep “pertahankan kerusi menang” pada PRN lalu.
“Kalau konsepnya Umno kata mereka hendak mempertahankan kerusi yang mereka menang, kenapa pula mereka tak nak beri saya (Wawasan) mempertahankan kerusi untuk kami menang?” katanya, menurut Utusan Malaysia, di Jasin.
Sedia berunding
Menurut Hamzah, jika Umno mahukan kerusi Wawasan, pihaknya boleh memberikannya, tetapi kedua-dua pihak perlu duduk berbincang.
“Kalau mereka hendak kerusi kami, kami boleh bagi tetapi duduklah sama-sama. Kita bincang kerusi yang sesuai dan kerusi yang boleh menentukan kemenangan sama ada di pihak Perikatan Nasional (PN) ataupun Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berkata, Wawasan tidak menolak keperluan menyusun semula pembahagian kerusi. Namun, rundingan itu perlu mengambil kira kepentingan semua pihak.
Dua kerusi disandang bekas calon Bersatu
DUN Sungai Udang disandang Aleef Yusof, manakala Bemban disandang Yadzil Yaakub. Kedua-duanya calon Bersatu pada PRN Melaka 2021 sebelum menyertai Wawasan.
Hamzah turut berkata, hasrat partinya tidak seharusnya diketepikan hanya kerana ada parti lain yang berminat bertanding di kedua-dua kawasan itu.
“Kalau mereka hendak kerusi mana-mana sekalipun boleh, tetapi saya hendak maklumkan kami hendak pertahankan kerusi kami. Kalau mereka hendak, kenalah duduk dengan kami untuk kita bincangkan kerusi yang sesuai,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.